Agong berangkat ke istiadat mengarak panji-panji
|
|
KUALA LUMPUR 2 Jun – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pagi ini berangkat ke istiadat mengarak panji-panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka di sini.
Istiadat sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong itu diadakan sebagai sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir menyaksikan istiadat itu.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu di Dataran Merdeka tepat pada pukul 8 pagi disambut dengan lagu Negaraku serentak dengan tembakan meriam 21 das.
Seri Paduka Baginda kemudian menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Pada masa yang sama lima pesawat helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut (TLDM) dan Tentera Udara (TUDM) terbang di ruang udara di atas Dataran Merdeka untuk upacara lintas hormat.
Seri Paduka Baginda Tuanku Mizan Zainal Abidin, dengan diiringi Panglima ATM Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, kemudian berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada pegawai dan anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.
Istiadat mengarak panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul kemudiannya dengan penuh istiadat ketenteraan, dalam tempo kawad perlahan dan tempo kawad cepat.
Laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali oleh anggota perbarisan bergema di Dataran Merdeka pada penghujung istiadat mengarak panji-panji itu.
Tuanku Mizan Zainal Abidin kemudian sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM itu.
Iringan muzik lagu-lagu patriotik yang dimainkan Pancaragam Pusat ATM oleh anggota daripada TDM, TLDM dan TUDM, sepanjang istiadat itu berlangsung, menyerikan lagi majlis penuh warna-warni itu.
0 orang telah bersuara:
Post a Comment