Daulat Tuanku -- Tuanku Mizan Zainal Abidin ditabal Yang di-Pertuan Agong Ke-13
|
|
KUALA LUMPUR 26 April – Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, 45, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 dalam upacara penuh adat istiadat Raja Melayu di Balairung Seri, Istana Negara di sini hari ini.
Sebaik sahaja Seri Paduka melafazkan ikrar sebagai Ketua Negara, semua yang hadir berdiri dan melaungkan “Daulat Tuanku” tiga kali diketuai oleh Datuk Maharaja Lela Tengku Farouk Tengku Jalil.
Dalam ikrar yang ditulis jawi di atas kulit kambing, Seri Paduka berjanji akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara, serta memelihara agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.
Selepas Seri Paduka selesai melafazkan warkah ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong, nafiri ditiup, dan lagu nobat Raja Bertabal dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu.
Ini diikuti dengan tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja, dan disusuli dengan lagu Negaraku yang dimainkan oleh pancaragam Kor Armor Diraja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum itu membaca surat perisytiharan pertabalan, yang juga ditulis jawi di atas kulit kambing.
Ini diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela menyembahkan keris kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.
Seri Paduka mengucup keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda, sebelum melafazkan ikrar.
Istiadat itu yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan Astro turut dirakamkan oleh National Geographic dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi penerbitan dokumentari mengenai Kesultanan Melayu. Dokumentari yang menunjukkan keunikan institusi diraja Malaysia itu akan disiarkan ke seluruh dunia.
Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Sultan Kedah yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Pahang, Sultan Perak dan Sultan Selangor turut berangkat ke majlis yang gilang-gemilang itu.
Johor diwakili oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail, Perlis oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizzudin, Kelantan diwakili oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra manakala Brunei diwakili oleh Putera Mahkota, Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Turut hadir ialah Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, menteri-menteri Kabinet, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri, kerabat diraja Terengganu termasuk nenda Seri Paduka, Tengku Ampuan Intan Zaharah iaitu Raja Permaisuri Agong yang keempat dan bonda Seri Paduka, Tengku Besar Terengganu, Sharifah Nong Al-Sogoff serta Yang Dipertuan Muda, Tengku Muhammad Ismail, putera sulung Tuanku Mizan.
Wakil-wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara juga hadir pada istiadat pertabalan itu.
Istiadat pertabalan bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira 11.10 pagi dengan keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Balairung Seri dengan iringan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu Raja Berangkat.
Keberangkatan Seri Paduka berdua didahului Datuk Maharaja Lela dan panglima-panglima membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, iaitu tongkat-tongkat perak merupakan sebahagian alat kebesaran diraja yang menjadi lambang kebesaran kerajaan Malaysia.
Tuanku Mizan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok ‘Dendam Tak Sudah’ serta memakai Pending Diraja diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga-bunga.
Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.
Tuanku Nur Zahirah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.
Istiadat pertabalan dimulakan dengan naskhah al-Quran dibawa masuk oleh Datuk Penghulu Istiadat, Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja bersama-sama Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar.
Alat-alat kebesaran istiadat pertabalan itu dibawa masuk oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diketuai oleh Tengku Farouk serta Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Mohd dengan iringan paluan nobat lagu Palu-Palu Melayu.
Naskhah al-Quran yang melambangkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara dipersembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, dan dikucup oleh Seri Paduka sebelum ia diletakkan di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.
Ini diikuti perisytiharan oleh Abdullah dan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong, serta diikuti dengan Perdana Menteri menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat sebelum diikuti dengan titah Tuanku Mizan.
@@@@@@@@@@@@@@@
Perpaduan sumbang kepada kejayaan negara
KUALA LUMPUR 26 April – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, perpaduan rakyat perlu sentiasa dipupuk kerana ia menjadi penentu kepada kejayaan dalam membangunkan negara dan mencapai pentadbiran yang cekap.
Seri Paduka bertitah, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya masyarakat Malaysia bukanlah satu halangan atau masalah, sebaliknya ia adalah keunikan yang membina kekuatan negara.
‘‘Beta akui, bukanlah mudah untuk rakyat berbilang bangsa mendiami sebuah negara dalam keadaan aman, rukun dan damai. Lihat sahajalah di sekeliling kita, tidak ramai yang berjaya malahan lebih banyak yang gagal melakukannya.
‘‘Beta suka untuk berpesan peliharalah perpaduan yang tidak ternilai ini dengan sebaiknya. Adat hidup bersama menuntut kita untuk saling memahami, hormat-menghormati dan sentiasa bertoleransi,’’ titah Sultan Mizan pada istiadat pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 di Istana Negara hari ini.
Istiadat gilang-gemilang itu dihadiri oleh raja-raja Melayu, Yang Dipertuan Besar, Yang Dipertua Negeri, duta-duta asing, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, barisan menteri Kabinet dan menteri-menteri besar.
Tuanku Mizan mahu Malaysia maju mengikut acuan budaya negara ini yang harus diseimbangkan dengan kemajuan ilmu pengetahuan.
Menurut Seri Paduka, kemajuan perlu dicapai tanpa meminggirkan nilai ilmu, budaya bangsa dan bahasa kebangsaan.
Seri Paduka bertitah, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan hanya dengan bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan rakyatnya.
Sehubungan itu, Tuanku Mizan menyeru rakyat menjadi warganegara Malaysia yang berilmu, berbudaya dan berpekerti mulia serta setia dan patuh terhadap tanggungjawab kepada raja dan negara.
Sempena dengan sambutan kemerdekaan negara ke-50 pada tahun ini, Seri Paduka bertitah, rakyat harus berbangga kerana Malaysia mengalami proses pembangunan yang begitu pesat dan memberangsangkan.
‘‘Sebagai sebuah negara yang boleh dianggap muda, anak-anak Malaysia telah melangkah jauh dan membuktikan keupayaannya dalam mentadbir negara ini.
‘‘Jika kita meninjau di sekeliling, banyak lagi negara yang merdeka lebih awal daripada kita tetapi masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek, namun itu bukan alasan untuk kita mendabik dada kerana hakikatnya perjalanan kita masih jauh lagi,’’ titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri sambil meminta Abdullah dan kerajaan bekerja keras melipatgandakan usaha bagi menjayakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang mampu membina tamadun dan menjulang martabat negara.
‘‘Secara peribadi, beta mengikuti dengan penuh minat perancangan kerajaan dalam RMK-9. Beta melihat bahawa program dan inisiatif yang direncanakan dalam gagasan tersebut sudah mula menampakkan hasil yang cemerlang,’’ titah Seri Paduka.
@@@@@@@@@@@@@@@
Pertabalan penuh adat istiadat
Yang di-Pertuan Agong ke-13 lafaz ikrar berdiri teguh di atas pemerintahan adilDalam ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong, ditulis Jawi di atas kulit kambing, Tuanku Mizan, 45, berjanji akan menjalankan pemerintahan mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara seadil-adilnya serta memelihara agama Islam.
Selepas baginda melafazkan ikrar itu, nafiri ditiup dan lagu nobat Raja Bertabal dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu, diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja dan disusuli lagu NegaraKu yang dimainkan pancaragam Kor Armor Diraja.
Dalam titahnya selepas itu, Seri Paduka mahu rakyat menjadi warga negara berilmu, berbudaya, berpekerti mulia serta setia dan patuh terhadap tanggungjawab kepada raja dan negara.
Baginda menegaskan, tidak ada negara di dunia mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan tanpa sokongan serta peranan yang dimainkan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum itu membaca surat perisytiharan pertabalan, juga ditulis jawi di atas kulit kambing, diikuti dengan Datuk Paduka Maharaja Lela menyembahkan Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran utama negara, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.
Istiadat lebih sejam yang disiarkan secara langsung oleh RTM, TV3 dan Astro itu, turut dirakamkan National Geographic dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi penerbitan dokumentari mengenai Kesultanan Melayu dan keunikan institusi diraja Malaysia, yang akan disiarkan ke seluruh dunia.
Raja-raja Melayu – Sultan Kedah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang, Sultan Kelantan, Sultan Perak, Sultan Selangor dan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, turut berangkat ke istiadat gilang-gemilang itu.
Johor diwakili Tengku Mahkota, Tunku Ibrahim Ismail, Perlis oleh Raja Muda Tuanku Syed Faizzudin, manakala Brunei diwakili Putera Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Yang Dipertua Negeri, menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri serta kerabat diraja Terengganu termasuk nenda Seri Paduka, Tengku Ampuan Intan Zaharah yang juga Raja Permaisuri Agong keempat, bonda baginda, Tengku Besar Terengganu Sharifah Nong Al-Sogoff dan Yang Di-Pertuan Muda Tengku Muhammad Ismail, putera sulung Tuanku Mizan serta wakil negara asing dan tetamu kehormat dari dalam dan luar negara, turut hadir.
Istiadat pertabalan bermula pada jam 10 pagi dan berakhir 11.10 pagi dengan keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri dengan iringan tiupan nafiri dan paluan nobat lagu Raja Berangkat.
Keberangkatan baginda berdua didahului oleh Datuk Maharaja Lela dan panglima membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, iaitu tongkat-tongkat perak yang menjadi sebahagian alat kebesaran Diraja dan lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.
Tuanku Mizan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, iaitu muskat bersulam emas dan berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok ‘Dendam Tak Sudah’ serta memakai Pending Diraja diperbuat daripada emas bertatah permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengahnya bersama tali bengkung daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga.
Di pinggang Seri Paduka, tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.
Tuanku Nur Zahirah pula memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong, iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.
Istiadat pertabalan dimulakan dengan naskhah al-Quran dibawa masuk oleh Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja bersama-sama Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar.
Alat-alat kebesaran istiadat pertabalan itu dibawa masuk oleh pegawai Istana Negara, diketuai oleh Tengku Farouk serta Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Mohd dengan iringan paluan nobat lagu ‘Palu-Palu Melayu’.
Naskhah al-Quran yang melambangkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, dipersembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan dikucup baginda sebelum meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda.
Ini diikuti perisytiharan oleh Abdullah dan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong. Perdana Menteri kemudian menyampaikan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat dan diikuti titah Tuanku Mizan.
Selepas itu, doa selamat dibaca oleh Pegawai Agama Istana Negara dan sebelum istiadat pertabalan selesai, Datuk Maharaja Lela menerima balik naskhah al-Quran daripada Seri Paduka dan mengisytiharkan istiadat itu telah disempurnakan.
Seri Paduka berdua kemudian meninggalkan Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’.
Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006, menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.
Istiadat lafaz sumpah jawatan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 diadakan penuh istiadat di Istana Negara pada 13 Disember 2006 dan jawatan itu berkuatkuasa untuk tempoh lima tahun.
0 orang telah bersuara:
Post a Comment