CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, April 26, 2007

sepintas lalu...

Pertabalan Agong hari bersejarah bagi rakyat

KUALA LUMPUR 25 April – Upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin esok (hari ini) merupakan hari bersejarah bagi rakyat Malaysia.

Seri Paduka yang diputerakan pada 22 Januari 1962 adalah Yang di-Pertuan Agong termuda dalam sejarah negara.

Kerajaan telah mengisytiharkan esok (hari ini) sebagai cuti umum di seluruh negara.

Majlis itu yang akan berlangsung dalam suasana gilang-gemilang dan penuh adat istiadat Melayu bakal dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, pemerintah-pemerintah negara asing dan pembesar-pembesar dari dalam dan luar negara.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu harus berbangga kerana Raja Melayu adalah simbol perpaduan dan kekuasaan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pertabalan berkata, upacara pertabalan esok telah disusun dengan rapi.

‘‘Peralatan diraja, tengkolok, keris panjang, hiasan dalaman Istana Negara sudah disempurnakan. Semuanya memuaskan dan Yang di-Pertuan Agong (Tuanku Mizan) juga telah menzahirkan rasa puas hati,’’ katanya.

Menurut Rais, bilangan jemputan yang hadir pada upacara pertabalan itu ialah 520 orang.

Beliau berkata, para jemputan akan mula hadir di Istana Negara sekitar pukul 8 pagi manakala Raja-Raja Melayu pula akan berangkat tiba kira-kira pukul 9 pagi. Majlis dijangka berakhir pukul 11.30 pagi.

Katanya, sebanyak 21 das tembakan meriam akan dilepaskan sebaik sahaja Tuanku Mizan selamat ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13.

‘‘Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong juga akan didokumentarikan oleh National Geography dan ia akan disiarkan ke seluruh dunia,’’ katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, satu Majlis Santapan Diraja akan diadakan di Istana Negara pada Jumaat ini.

Selain itu, katanya, satu program yang dikenali sebagai Raja dan Rakyat Berpisah Tiada akan turut diadakan Sabtu ini, pukul 9 malam, di Dataran Merdeka di sini.

‘‘Program itu merupakan malam rakyat dengan raja yang turut diserikan dengan perarakan dan majlis sembah watikah daripada rakyat kepada raja,’’ katanya.

Tambah Rais, sempena pertabalan Tuanku Mizan, satu pameran mengenai sejarah institusi raja dan pemerintahan raja berperlembagaan akan turut diadakan di Muzium Negara pada Ahad ini.

@@@@@@@@@@@@@@@

Di bawah naungan Tuanku


TUANKU Mizan Zainal Abidin melafaz Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada satu istiadat di Balairung Seri, Istana Negara Disember lalu. – Gambar Bernama.

HARI ini 26 April 2007 Tuanku Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam upacara tradisi yang menjadi lambang penerimaan rakyat jelata terhadap pemerintahan Raja Berperlembagaan.

Tentunya keutuhan institusi beraja dan institusi Yang di-Pertuan Agong yang diperlihatkan menerusi pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 ini adalah bersandarkan kepada keupayaan raja- raja untuk memerintah dengan adil dan saksama.

Kita tentu tidak lupa dengan pertabalan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad sebagai Yang di- Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu pertama pada tahun 1957.

Melihat kembali sejarah Malaysia, kita mungkin tertanya-tanya bagaimana institusi raja-raja, sebagai sebuah institusi keturunan dapat mengamalkan proses pemilihan – proses yang dikaitkan dengan demokrasi – untuk melantik seorang ketua utama negara.

Jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah jawatan pemilihan kerana Majlis raja-raja yang memilih salah seorang antara raja-raja untuk menjadi ketua utama negara Malaysia. Calon untuk dipilih adalah berdasarkan proses penggiliran antara raja-raja Melayu mengikut negeri. Oleh sebab itu Yang di-Pertuan Agong ke-13 adalah Sultan Terengganu Darul Iman yang kedua yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agung. Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah adalah Sultan Terengganu Darul Iman yang pertama dilantik sebagai Yang di- Pertuan Agong, iaitu sebagai Yang di- Pertuan Agong ke-4.

Majlis Raja-Raja adalah satu majlis yang terdiri daripada raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri. Namun dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja hanya dianggotai oleh raja-raja Melayu; tanpa Yang Dipertua Negeri. Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa dan peranan dalam penggubalan undang-undang yang melibatkan hal- hal agama Islam dan hak raja-raja. Berbalik kepada pelantikan Yang di-Pertuan Agong, kuasa yang diberikan kepada Majlis Raja-Raja bukan hanya satu formaliti.

Ini adalah kerana, bukan sahaja majlis memilih Yang di-Pertuan Agong, mereka juga boleh membuat keputusan bahawa seseorang calon itu tidak layak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Dari mana inspirasi keunikan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan hanya wujud di Malaysia? Rujukan mungkin boleh dibuat kepada sistem pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang dipilih oleh Undang Luak. Ini menunjukkan keupayaan khazanah tradisional untuk menjadi acuan bagi memantapkan institusi nasional.

Persekutuan Malaysia terdiri daripada sembilan negeri Tanah Melayu, dua Negeri Selat serta Sabah dan Sarawak. Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat bersetuju membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pada tahun 1963 Sabah dan Sarawak pula telah menyertai Persekutuan ini yang dikenali kemudiannya sebagai Malaysia. Kesemua 13 wilayah ini mempunyai ketua negeri yang tersendiri iaitu raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri bagi Negeri-Negeri Selat, Sabah dan Sarawak. Yang di-Pertuan Agong, sebagai ketua utama negara, yang dipilih daripada raja-raja Melayu mengikut giliran berupaya untuk memenuhi keperluan lambang perpaduan sebuah Persekutuan yang terdiri daripada pelbagai wilayah. Dalam konteks ini, Yang di- Pertuan Agong dilihat sebagai pelindung kepada segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira agama, ras, pangkat dan keturunan.

Yang di-Pertuan Agong bukan hanya menjadi lambang perpaduan. Seri Paduka mempunyai peranan penting dalam pentadbiran negara. Dalam cabang eksekutif kerajaan, beliau mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri. Seri Paduka mempunyai budi bicara untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat Seri Paduka akan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Peranan ini selalunya dimainkan oleh Seri Paduka selepas pilihan raya umum.

Oleh kerana dalam setiap pilihan raya umum Malaysia gabungan parti politik yang sama mendapat majoriti besar, peranan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri tidak begitu ketara. Ini adalah kerana dalam keadaan sebegini, telah jelas siapa yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Namun, sekiranya tidak jelas pemimpin mana yang mendapat sokongan majoriti, budi bicara Yang di-Pertuan Agong akan menjadi amat penting.

Dalam cabang legislatif pula, Yang di- Pertuan Agong adalah salah satu komponen Parlimen, selain daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Seri Paduka yang memanggil dan membubarkan Parlimen yang seterusnya memerlukan pilihan raya umum diadakan. Rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan-Dewan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Walaupun rang undang-undang yang tidak mendapat perkenan Seri Paduka secara peribadi masih boleh menjadi undang-undang, keengganan untuk memberi perkenan sudah tentu akan menimbulkan persoalan yang perlu dijawab.

Yang di-Pertuan Agong turut mempunyai peranan besar dalam cabang kehakiman iaitu dalam urusan pelantikan hakim-hakim berdasarkan nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Pelantikan hakim oleh Yang di-Pertuan Agong dapat memberikan kedudukan selesa hakim-hakim untuk mempertahankan kebebasan hakim- hakim daripada dikaitkan dengan cabang eksekutif kerajaan.

Sistem pemerintahan beraja kita adalah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Ini bermaksud pemerintahan raja-raja, termasuk pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri. Acap kali dikatakan bahawa konsep Raja Berperlembagaan ini adalah sesuatu yang baru dicipta sempena dengan kemerdekaan.

Namun sekiranya dilihat kepada sejarah, secara praktisnya, Raja tidak pernah memerintah secara literal mutlak. Raja masih perlu memerintah bersandarkan hukum agama dan adat. Penerimaan rakyat terhadap raja adalah berdasarkan raja yang adil. Oleh itu, konsep Raja Berperlembagaan mempunyai kesinambungan kepada institusi raja- raja sebelum merdeka. Ini juga bersesuaian dengan kedudukan Perdana Menteri yang menjadi ketua kerajaan yang turut tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Keperluan pemerintahan yang adil ini diterapkan di dalam lafaz sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong iaitu untuk memerintah dengan adil mengikut undang-undang dan Perlembagaan. Sebagai Raja Berperlembagaan tidak bermakna Yang di-Pertuan Agong tidak mengambil tahu perjalanan kerajaan. Jemaah menteri, yang selalunya diwakili oleh Perdana Menteri, perlu memberi taklimat perjalanan pemerintahan negara kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam mengambil tahu perjalanan kerajaan, sudah semestinya Yang di-Pertuan Agong tidak melibatkan diri dalam politik kepartian.

Ini akan mencemar jawatannya sebagai ketua utama negara. Namun, sudah pasti Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan kebijaksanaannya dalam mengamati perjalanan pemerintahan agar lafaz sumpah jawatannya dapat ditunaikan dan Perlembagaan dapat dihormati.

Selari dengan amanah untuk memastikan pemerintahan adil dan aman, tanggungjawab memelihara agama Islam tersurat dalam lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong. Agama Islam tidak dapat dipisahkan dengan raja- raja Melayu.

Bertepatan dengan peranan ini, raja- raja Melayu adalah ketua agama Islam bagi negeri yang diperintah.

Walaupun jawatan Yang di-Pertuan Agong bukan institusi yang dipilih melalui pilihan raya, ia tetap mampu menterjemahkan kehendak dan aspirasi rakyat sekiranya Yang di-Pertuan Agong sentiasa hampir dengan nadi rakyat. Sememangnya Yang di-Pertuan Agong tidak patut merendahkan kedudukannya dengan terbabit dengan proses politik kepartian.

Namun Yang di-Pertuan Agong mampu berperanan dengan mengamati proses demokrasi dan pemerintahan agar rakyat jelata terus dapat berlindung dan terjaga kebajikannya di bawah kerajaan.

@@@@@@@@@@@@@@@

Keunikan istiadat pertabalan

ADA beberapa sebab mengapa seluruh lapisan rakyat jelata di negara ini terpanggil menjadi teruja untuk mengikuti upacara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada hari ini.

Pertamanya, ia berlangsung lima tahun sekali. Maknanya, jika terlepas peluang kali ini, kita perlu menunggu lima tahun akan datang untuk menyaksikan upacara yang sama. Walaupun standard urusan adalah sama pada setiap lima tahun, dikatakan ada beberapa keistimewaan baru ‘disuntik’ pada kali ini.

Keduanya, upacara hari ini merupakan lambang keagungan institusi beraja di negara ini. Keunikannya pula ia dipenuhi dengan ‘warna-warna’ adat istiadat Melayu penuh gilang-gemilang. Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, inilah adat istiadat yang terus dipelihara.

Sebab-sebab lain barangkali, dalam sejarah pertabalan Yang di-Pertuan Agong, ini merupakan pasangan diraja paling muda ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong. Itu adalah sebab ‘teruja’ yang disebutkan oleh kalangan rakyat-rakyat biasa. Di kalangan pihak keselamatan pula, sebab yang mungkin menyebabkan upacara kali ini sebagai sesuatu yang penting ialah kerana Yang di-Pertuan Agong ke-13 ini mempunyai anak-anak kecil.

‘‘Kalau Yang di-Pertuan Agong sebelum- sebelum ini, anak-anak telah dewasa, tetapi tidak kali ini. Jadi keselamatan mesti ditumpukan lebih pada anak-anak Seri Paduka yang masih kecil,’’ kata sumber keselamatan itu yang ditemui semasa majlis upacara raptai istiadat pertabalan kelmarin.

Dalam pada itu, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ini sudah pasti penuh dengan protokol dan etika yang perlu dipatuhi.

Bekas ketua protokol yang berkhidmat di bawah dua Yang di-Pertuan Agong, Allahyarham Datuk Abdullah Ali dalam bukunya Protokol Malaysia & Bentuk-Bentuk Panggilan Yang Tepat menulis bahawa istiadat pertabalan ialah satu upacara yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong itu sebagai ketua negara.

‘‘Dan sebagai ketua negara, setiap tindakan kerajaan itu datangnya daripada autoriti Yang di-Pertuan Agong, walaupun Seri Paduka selalunya bertindak atas nasihat Parlimen dan Kabinet.

‘‘Pelantikan Perdana Menteri terletak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Seri Paduka berhak menolak untuk membubarkan Parlimen walaupun telah dinasihatkan Perdana Menteri,’’ tulis Allahyarham pada halaman 33 buku tersebut.

Anak perempuannya, Datuk Paduka Noor Aini Abdullah pula berkata, sebagai sumber keadilan, Seri Paduka melantik hakim Mahkamah Persekutuan dan Tinggi atas nasihat Perdana Menteri, bersesuaian dengan tatacara diterangkan dalam Perlembagaan. Sebagai sumber penghormatan pula Yang di-Pertuan Agong boleh mengurniakan Darjah Kesatria atau memberi penghormatan serta pengiktirafan lain.

‘‘Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Pertahanan, Seri Paduka melaksanakan prerogatif pengampunan berkaitan kesalahan di mahkamah tentera. Seri Paduka juga melaksanakan prerogatif sama di Pulau Pinang dan Melaka sebagai ketua agama.

‘‘Apabila telah ditabal sebagai Yang di- Pertuan Agong, Seri Paduka ada kuasa- kuasa itu semua. Yang di-Pertuan Agong bukan lagi wakil mana-mana negeri sebaliknya sebuah negara. Seperti Yang di-Pertuan Agong ke-13 ini, Seri Paduka bukan lagi Sultan Terengganu tetapi ketua kepada semua sultan-sultan yang ada di negeri di Malaysia,’’ kata beliau ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar perunding protokol menjelaskan, apa yang penting dari segi protokol ialah upacara istiadat di Balairung Seri itu.

Penulis buku Malaysian Custom And Etiquette – A Practical Handbook atau edisi bahasa Melayu berjudul Buku Adat Resam dan Etika Masyarakat Melayu – Buku Panduan Praktikal itu menambah, pertabalan Yang di-Pertuan Agong, ini kerana upacara pertabalan itu disempurnakan di Balairung Seri Istana Negara.

Sementara itu dalam laman web malaysianmonarchy.org.my/portal pula menyebut, Balairung Seri Istana Negara mula digunakan untuk pertabalan Yang di-Pertuan Agong sejak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-7. Sebelum itu, istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong disempurnakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurut Noor Aini, hari istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ialah salah satu daripada hari yang ditetapkan sebagai ‘Hari Kalong’. Justeru katanya, semua penyandang darjah kebesaran yang mempunyai kalong, etikanya memakai kalong. Apabila memakai kalong bagi sesuatu darjah kebesaran, selempang (sash) darjah kebesaran yang sama tidak boleh dipakai.

‘‘Akan tetapi selempang bagi darjah kebesaran yang lain, sekiranya ada, bolehlah dipakai bersama-sama,’’ ujar beliau yang banyak dirujuk berhubung soal-soal etika dan protokol rasmi dan di istana.

Amat penting katanya, semasa menghadiri upacara tersebut, tetamu-tetamu memakai pakaian bersesuaian atau yang mematuhi protokol ditetapkan.

Dalam pada itu, senaskhah panduan atur cara istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang diperoleh pihak media memperincikan atur cara pada hari ini.

Protokolnya terdiri daripada persiapan, keberangkatan tuanku dan permaisuri, memulakan istiadat pertabalan, kemasukan alat-alat kebesaran sehingga upacara selesai.

Laman web malaysianmonarchy.org.my/ portal ada menyebut atur cara istiadat dimulakan dengan persiapan iaitu dengan pasukan kawalan tombak keluar mengambil tempat di ruangan masuk Balairung Seri. Ini diikuti Datuk Paduka Maharajalela dan panglima-panglima membawa Cogan Alam dan Cogan Agama, juruiring-juruiring Seri Paduka serta Panglima-panglima yang membawa alat-alat kebesaran diraja seperti pedang, keris, cokmar, sundang dan tombak berambu bersiap sedia.

Selepas itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri berangkat masuk ke Balairong Seri dengan diumumkan oleh juruacara. Keberangkatan Tuanku berdua ke Balairong Seri didahului oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dan Panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama dan diiringi oleh Juruiring-juruiring Seri Paduka Baginda dan Dang Perwara serta Panglima-panglima yang membawa Alat- alat Kebesaran Diraja iaitu Pedang, Keris, Cokmar, Sundang dan Tombak Berambu. Sebaik sahaja Tuanku berdua masuk ke Pintu Besar Balairong Seri, nobat dipalu dengan lagu Raja Berangkat.

Ia disusuli dengan Datuk Paduka Maharaja Lela menghadap dan memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk memulakan istiadat pertabalan. Datuk Paduka Maharajalela juga memohon perkenan Seri Paduka untuk membawa masuk alat-alat kebesaran istiadat pertabalan ke Balairung Seri. Di peringkat ini, nobat dipalu dengan memainkan lagu Menjunjung Duli. Datuk Paduka Maharajalela masuk ke Balairung Seri bersama-sama Datuk Penghulu Istiadat dan Pegawai Agama Istana Negara serta panglima-panglima yang membawa:

1) Al-Quran

2) Keris kerajaan

3) Surat pengisytiharan

4) Warkah ikrar

Apabila sampai di hadapan singgahsana Datuk Paduka Maharajalela menyambut al-Quran dan panglima yang membawa al-Quran serta membawanya naik ke atas singgahsana sebelum memohon perkenan untuk menyerahkannya kepada Yang di- Pertuan Agong.

Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas meja iring antara Seri Paduka dan Seri Paduka Raja Permaisuri.

Selepas itu sekali lagi Datuk Paduka Maharajalela menghadap dan memohon perkenan Seri Paduka untuk membawa menghadap Perdana Menteri bagi membacakan surat perisytiharan.

Agak penting juga mengetahui isi kandungan surat perisytiharan itu. Ia berbunyi:

Bismillah Al-Rahman Al-Rahim.

Bahawa inilah dimasyhurkan kepada sekelian orang serta penduduk negara Malaysia iaitu paduka raja-raja telah memilih Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan pada hari, waktu dan saat yang gilang-gemilang ini maka Seri Paduka Baginda ditabalkan naik takhta kerajaan menjadi turus negara bagi Malaysia dengan bergelar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Atur cara diteruskan dengan menyembahkan keris kerajaan, dimulai Datuk Penghulu Istiadat mengambil pahar berisi keris kerajaan dan mengiringi Datuk Paduka Maharajalela menghadap. Di hadapan singgahsana, Datuk Paduka Maharajalela tunduk hormat dan menerima pahar berisi keris kerajaan dari Datuk Penghulu Istiadat dan naik ke atas singgahsana berlutut dan menyembahkan keris kerajaan. Seri Paduka menerima keris kerajaan dan menghunus serta mengucup keris berkenaan.

Ini diikuti seterusnya dengan atur cara menyembah warkah ikrar. Di peringkat ini, semua hadirin berdiri semasa Seri Paduka melafazkan ikrar.

Sempurna sahaja ikrar dilafazkan nobat dipalu dengan lagu Raja Bertabal. Selesai nobat berbunyi, Datuk Paduka Maharajalela berseru daulat tuanku sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin berturut-turut dalam Balairung Seri. Tembakan meriam 21 das dimulakan apabila seruan pertama daulat tuanku dimulakan. Serentak dengan tembakan meriam, lagu Negaraku dimainkan.

Menyusuli selepas itu ialah upacara ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia. Ini dilakukan oleh Perdana Menteri. Setelah selesai ucapan Datuk Paduka Maharajalela mengadap semula dengan diiringi Datuk Penghulu Istiadat yang membawa dulang berisi warkah titah diraja.

Seperkara perlu diingatkan, di antara upacara-upacara utama itu ada protokol yang perlu dipatuhi. Ini termasuk memohon perkenan, naik ke singgahsana, berlutut dan berundur turun.

Bacaan doa dibaca sebelum atur cara menerima kembali al-Quran. Keseluruhan atur cara yang kebiasaannya mengambil masa lebih tiga jam itu telah selamat disempurnakan jika pengumuman keberangkatan meninggalkan Balairung Seri dibuat.

Sebaik sahaja pengumuman selesai dibuat para hadirin semua berdiri dan diikuti dengan tiupan nafiri. Nobat dipalu dengan lagu Raja Berangkat.

Nobat berhenti dipalu apabila Seri Paduka dan Raja Permaisuri tiba di pintu besar Balairong Seri dan berangkat balik menuju ke bilik dikhaskan.

Melihat daripada protokol dan atur cara-atur cara itu sememangnya ia mempamerkan keunikan adat istiadat Melayu yang sehingga kini terus dipelihara oleh rakyat Malaysia.

@@@@@@@@@@@@@@@

SELAMAT BERTAKHTA YANG DI-PERTUAN AGONG

HARI ini Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin ditabalkan dalam suasana gilang-gemilang dan penuh istiadat Melayu.

Bersama keseluruhan rakyat Malaysia, kita serukan Daulat Tuanku sebagai pernyataan kesetiaan penuh kepada Seri Paduka sebagai ketua negara yang juga menjadi penyambung kepada institusi beraja negara ini.

Sesungguhnya institusi beraja yang merupakan warisan daripada sistem pemerintahan zaman silam negara ini secara turun-temurun menunjukkan bahawa Malaysia berdiri di atas warisan yang sudah lama diamalkan sebelum kedatangan penjajah lagi.

Walaupun adalah jelas bahawa sistem beraja negara di mana Yang di-Pertuan Agong menjadi faktor penting bagi mewujudkan kestabilan negara sepanjang 50 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat juga wajar sedar bahawa institusi ini merupakan kesinambungan entiti politik yang wujud zaman-berzaman bermula ketika muncul tamadun manusia di Asia Tenggara.

Hakikat latar belakang sejarah yang perlu kita ingat ialah betapa konsep kerajaan Melayu yang ada sejak zaman Champa dan sambung-menyambung hingga kepada Sri Wijaya dan Kesultanan Melaka. Maka raja-raja Melayu di negara ini adalah pewaris kepada konsep kerajaan ini hingga ia diperkukuhkan dalam entiti moden negara bangsa bernama Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang melambangkan jati diri Malaysia dan sekali gus menjadi penaung kepada semua rakyat di negara ini, tanpa mengira kaum, keturunan, anutan agama, kepercayaan, fahaman politik, kedudukan ekonomi dan sosial.

Seri Paduka mewakili raja-raja Melayu dalam suatu sistem unik termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di mana ia berjaya menggabungkan ciri-ciri tradisional dan moden, jati diri dan demokratik, yang natijahnya mewujudkan negara stabil di mana ia membolehkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju dan makmur.

Kita percaya kejayaan Malaysia selama ini mempunyai asas kepada sistem politik yang meletakkan institusi Yang di-Pertuan Agong pada kedudukan tertinggi.

Institusi ini jugalah yang akan menjadi asas kejayaan masa depan negara. Namun begitu, kejayaan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen terletak pada usaha jitu rakyat untuk memenuhi matlamat negara.

Sistem kenegaraan dicipta dan diolah untuk menjamin kehidupan rakyat dan masa depan generasi akan datang. Bagi Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan institusi beraja memenuhi hasrat rakyat negara ini.

@@@@@@@@@@@@@@@

Tuanku Mizan menggemari sukan berkuda


TUANKU Mizan bersama salah seekor kuda kesayangan baginda.

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sentiasa menjaga kesihatan Seri Paduka supaya berada pada tahap terbaik bagi membolehkan Seri Paduka aktif dalam pelbagai sukan diminati terutama sukan kuda lasak.

Walaupun kini Tuanku Mizan sibuk dengan tugas-tugas rasmi sebagai pemerintah negara, namun Seri Paduka tetap meluangkan masa melakukan senaman bagi memastikan kesihatan Seri Paduka sentiasa berada pada tahap terbaik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kejohanan Berkuda Lasak Dunia, Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), Datuk Hamzah Muhammad, Seri Paduka melakukan latihan dan senaman setiap hujung minggu apabila tidak melakukan urusan rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, Tuanku Mizan mempunyai jurulatih untuk memastikan tahap stamina dan fizikal baginda sentiada dalam keadaan terbaik.

Ini perlu, kerana menurutnya, Tuanku Mizan amat menggemari sukan berkuda lasak terutama kejohanan dunia dan antarabangsa melibatkan trek sejauh 160 kilometer yang memerlukan fizikal mantap selain keadaan kuda yang baik untuk menghabiskan pertandingan.

‘‘Untuk menghabiskan trek sejauh 160 kilometer akan memakan masa kira-kira 16 jam, bayangkan apakah kekuatan fizikal diperlukan untuk menunggang seekor kuda selama itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, selain menjaga kesihatan fizikal, Seri Paduka turut menjalani latihan menunggang kuda secara berterusan bagi memastikan dapat melakukan pergerakan yang baik dengan kuda tunggangan Seri Paduka.

Beliau memberitahu, trek yang menjadi kegemaran Seri Paduka untuk melakukan latihan adalah di Terengganu Ekuestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu serta di pesisir pantai Chendering, Kuala Terengganu dan Marang.

Selain latihan menunggang kuda katanya, Seri Paduka turut bersenam di gimnasium serta berenang untuk meningkat dan mengekalkan tahap kesihatan dan stamina.

Beliau berkata, Tuanku Mizan yang memiliki kuda-kuda jenis baka Arab telah memindahkan sebahagian daripada kuda berkenaan ke Kuala Lumpur bagi membolehkan Seri Paduka meneruskan latihan menunggang kuda selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Menurutnya, pemantapan fizikal dan kesihatan dilakukan bagi memastikan Seri Paduka dapat menyertai pelbagai kejohanan berkuda lasak yang terdapat sepanjang tahun.

‘‘Jadual kejohanan telah dipersembahkan kepada Tuanku Mizan dan Seri Paduka berkenan menyertai beberapa kejohanan termasuk Kejohanan Berkuda Lasak Dunia FEI di Lembah Bidong, Setiu pada Mei ini,” jelasnya.

Seperti juga atlet sukan lain, katanya, Seri Paduka tidak terkecuali menjaga pemakanan kerana sukan berkuda memerlukan kekuatan fizikal dan mental ketika pertandingan.

Beliau memberitahu, sepanjang menyertai kejohanan berkuda, Tuanku Mizan tidak pernah meminta keistimewaan untuk terlepas dari syarat-syarat penyertaan atas alasan baginda seorang pemerintah negara atau pun sebagai Sultan Terengganu.

‘‘Seri Paduka dilayan seperti penunggang lain yang perlu melalui setiap peringkat bagi mendapatkan pengiktirafan untuk menyertai sesuatu kejohanan peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Hamzah berkata, dalam satu kejohanan antarabangsa, beliau pernah melihat Tuanku Mizan gagal melengkapkan trek tetapi kegagalan itu tidak menyebabkan Seri Paduka berputus asa sebaliknya baginda berhenti menyaksikan persembahan penunggang-penunggang lain untuk menimba pengalaman.

‘‘Apabila kejohanan itu tamat, Seri Paduka bertemu para penunggang berkenaan sambil bertanyakan khabar dan teknik digunakan mereka,” ujarnya.

Di samping itu, cinta mendalam Seri Paduka dalam sukan berkuda turut mendorong baginda menubuhkan TER dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTRES) bagi tujuan mencari dan melatih penunggang kuda tempatan untuk menyertai pertandingan sukan kuda lasak di dalam dan luar negara.

Banyak kejohanan di dalam dan luar negara telah disertai hasil penubuhan RTES termasuk pada Ogos tahun lepas, seramai empat penunggang mewakili Malaysia pada kejohanan World Equestarian Games di Aachen, Jerman.

Seri Paduka sendiri banyak menyertai perlumbaan lasak sama ada di dalam atau luar negara.

Dalam sukan Endurance Ride, Seri Paduka telah mencapai kejayaan peribadi dengan berjaya melayakkan diri untuk bertanding di peringkat antarabangsa setelah melepasi ujian 80 kilometer pada tahan 2002.

Antara kejayaan Seri Paduka dalam pertandingan di luar negara adalah juara kategori 80 kilometer Endurance Ride di Wilga, Australia pada 13 Mac 2004 dan juara Kejohanan Harris River Ride di Perth, Australia pada 24 April 2004.

Terbaru, Seri Paduka melakar kejayaan tersendiri apabila berjaya menduduki tempat kedua pada Perlumbaan Kuda Lasak Antarabangsa Qatar sejauh 160 kilometer.

Penyertaan aktif Seri Paduka dalam sukan kuda lasak membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi baru penganjuran sukan berkenaan apabila TIEP dipilih sebagai tuan rumah untuk kejohanan kuda lasak pada tahun depan yang tarafnya dikatakan sama dengan perlumbaan Formula 1.

TIEP bakal menjadi trek iklim tropika pertama bagi siri kejohanan kuda lasak yang mendapat pengiktirafan FEI-World Endurance Championship 2008 (FEI-WEC 2008) yang bakal berlangsung pada Ogos 2008 sekali gus menjadikannya gelanggang sukan berkuda berprestij di kalangan penunggang kuda handalan dunia.

Sesungguhnya, kecenderungan Tuanku Mizan dalam dunia sukan telah merintis jalan kepada kemasukan dan kerancakan pelbagai kejohanan sukan peringkat setempat, daerah, negeri dan antarabangsa termasuk kejohanan Endurance Sultan Cup, Piala Monsun dan Bola Sepak T-Team.

Beliau memberitahu, selain sukan berkuda, Tuanku Mizan juga berminat bermain golf tetapi tidak sehingga untuk menyertai pertandingan.

“Seri Paduka bermain golf sebagai satu aktiviti rekreasi dan riadah,” ujarnya.

Walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan golf, Seri Paduka merupakan seorang pemain golf yang handal serta pernah mencapai ‘single handicap’ dan sekarang ini Seri Paduka adalah penaung Kelab Golf Diraja Terengganu.

Seri Paduka juga meminati sukan lain malah di zaman remaja, baginda pernah menyertai pasukan bola sepak termasuk mewakili negeri, selain pernah aktif dalam taekwando dan skuba serta mempunyai lesen menyelam.

Walaupun sekarang Tuanku Mizan tidak lagi melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti sukan-sukan tersebut, namun Seri Paduka tetap mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

Seri Paduka adalah penaung kepada Persatuan Perkasa Alam iaitu persatuan yang terlibat dalam sukan bola sepak dan pernah satu ketika dahulu menyertai liga anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain pernah dilantik sebagai Presiden Taekwando Asia Pasifik (ITF), Seri Paduka turut menjadi penaung kepada Malaysia Global Taekwando Federation (MGTF) sejak tahun 1990.

Sebagai penaung MGTF, Seri Paduka akan merasmikan setiap pertandingan taekwando peringkat kebangsaan anjuran badan tersebut yang mana piala pusingannya adalah sumbangan daripada baginda sendiri.

Di atas keprihatinan dan minat besar terhadap ilmu mempertahankan diri itu, Seri Paduka telah dianugerahkan ‘7th Degree Black Belt’ (Kehormat) oleh Global Taekwando Federation (GTF).

Hasil usaha dan kesungguhan baginda, Malaysia telah berjaya mendapat kepercayaan menganjurkan Kejohanan Taekwando Dunia di Kuala Terengganu pada 1994 yang disertai 88 negara dan Terengganu juga terpilih menjadi tuan rumah Pertandingan Taekwando MGTF peringkat kebangsaan pada tahun 2003.

@@@@@@@@@@@@@@@

Majlis pertabalan berunsurkan negeri Terengganu


PERSEDIAAN LANCAR...raptai penuh sempena majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13 yang dijalankan baru-baru ini.

HARI ini satu lagi sejarah negara tercatat apabila Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-13 dalam satu upacara pertabalan yang penuh adat istiadat raja-raja Melayu di Istana Negara.

Majlis pertabalan Seri Paduka itu turut dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, pembesar-pembesar negara dan kenamaan dari luar negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan, walaupun setiap urusan pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah majlis rasmi yang sentiasa dijalankan lima tahun sekali tetapi ia tetap mempunyai sedikit perbezaaan.

“Memandangkan kali ini melibatkan giliran Yang di-Pertuan Agong dari negeri Terengganu, jadi ada unsur-unsur atau ciri-ciri dari negeri Terengganu yang turut diambil kira (dalam majlis pertabalan).

“Ciri-ciri seperti penggunaan alat muzik tradisional dan nobat serta beberapa gerak laku dan ungkapan-ungkapan diraja akan diselitkan juga," katanya ketika ditemui pemberita ketika majlis raptai penuh untuk majlis sambutan hari pertabalan, baru-baru ini.

Beliau berkata, warna-warna dan hiasan dalaman yang mencerminkan keceriaan dapat dilihat pada Balairong Seri, Istana Negara juga merupakan pilihan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong.

"Suasana sebenar hanya dapat dilihat pada hari pertabalan (hari ini). Yang nyata akan terdapat unsur negeri Terengganu dan ciri-ciri yang melambangkan keceriaan, memandangkan Tuanku sebagai pasangan diraja yang berusia muda dan warna-warna pilihan juga mengikut cita rasa Tuanku, terutama Raja Permaisuri Agong," katanya.

Beliau berkata, lebih 1,500 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai sektor kerajaan terlibat dalam menjayakan majlis raptai tersebut.

@@@@@@@@@@@@@@@

Pelantikan dibuat Majlis Raja-Raja

GELARAN yang di-Pertuan Agong merupakan gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Gelaran rasmi yang penuh adalah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Memandangkan Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, peranan Yang di-Pertuan Agong kebanyakannya adalah sebagai istiadat.

Perlembagaan menyatakan dengan jelas bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri, dilaksanakan oleh (atau dengan nasihat) Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Al-Haj dari Terengganu, Darul Iman.

Sistem pemilihan Yang di-Pertuan Agong negara ini memang unik berbanding negara lain di dunia.

Yang dimaksudkan unik ialah kerana dalam sistem pemerintahan beraja di Malaysia, jawatan ini digilirkan setiap lima tahun antara sembilan Pemerintah Negeri Melayu.

Apabila seseorang Raja Melayu itu menjawat jawatan yang di-Pertuan Agong, seorang kerabat diraja akan dilantik sebagai Pemangku Sultan dalam negeri tersebut.

Sejarah

Sejarah mencatatkan bahawa Jawatan yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan jawatan Yang Dipertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.

Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong dan menolak gelaran Yang di-Pertuan Besar yang dicadangkan sebelum itu, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Jika menurut tempoh lama memerintah, Major-Jeneral Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Johor) yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1895 merupakan sultan yang paling lama memerintah.

Yang kedua dalam tuturan Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang) yang memerintah pada tahun 1932.

Seterusnya yang paling lama memerintah ialah Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan yang menaiki takhta pada tahun 1933.

Giliran mengikut Negeri

Sistem penggiliran jawatan Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun dianggap unik. Ini kerana ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan darah dengan konsep moden berasaskan perlembagaan.

Malaysia satu-satunya negara didunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.

Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu.

Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang. Manakala negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-raja.

Selepas kiraan pertama sembilan yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut pemerintah negeri adalah menurut kiraan yang telah digunakan sebelum itu, iaitu:

Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Pahang, Johor dan Perak.

Faktor pemilihan

Pemilihan yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada sistem giliran yang telah ditetapkan.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja melalui undi rahsia bagi menentukan pengganti bagi jawatan Yang di-pertuan Agong seterusnya.

Syarat yang diambil kira ialah:

* Keberkenan di kalangan Sultan dan Raja.

* Seri Paduka berkenan untuk menjadi Agong.

* Tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

* Merupakan Raja yang berada di kedudukan teratas.

* Mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain.

* Dan bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang Dipertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Faktor lain ialah usia dan tempoh masa pemerintahan dan kalau kita lihat daripada aspek status atau peranan yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong, usia dan tempoh masa pemerintahan seseorang Raja di sesebuah negeri amat penting kerana apabila Seri Paduka telah menjalankan pemerintahan dalam tempoh yang lama, ini dapat menggambarkan kematangannya terhadap cara pemerintahan.

Kebaikan sistem

Hanya yang terpilih sahaja boleh dipilih iaitu menurut darah keturunan tetapi di dalamnya itu tersemat dan tersisip peraturan yang bercorak demokrasi moden iaitu pemilihan secara moden.

Keunikannya tradisinya sejak 1957, kuasa yang dimiliki oleh yang di-Pertuan Agong mengatasi segala Raja-raja Melayu sepanjang tempoh pelantikannya.

Jika dibandingkan dengan pelantikan Ratu Elizabeth 11 di England, ia tidak seunik Malaysia kerana ia datang dari satu keluarga sahaja. Tetapi di negara kita, pemilihan datangnya dari dari sembilan sultan yang memerintah negeri-negeri Melayu.

@@@@@@@@@@@@@@@

Raja Melayu paling muda

HARI ini Sultan Terengganu yang ke-16, Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Pelantikan tersebut secara automatik menjadikan baginda sebagai ketua perlembagaan Malaysia mulai 13 Disember 2006. Tuanku Mizan diputerakan pada pada 22 Januari, 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, ibu negeri Terengganu.

Seri Paduka mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman dan kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman sebelum melanjutkan pelajaran ke luar ke Australia.

Seri Paduka menamatkan pengajiannya pada tahun 1988, di U.S. International University-Europe di London dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera di International Relationships pada 9 Jun 1988.

Seri Paduka turut melibatkan diri dengan kursus ketenteraan PRE SMC (E) 33 di Army School of Languages daripada 2 November 1982 hingga 31 Mei 1983, dan kemudiannya menghadiri kursus ketenteraan SMC 33 di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di England dari 3 Mei 1983, menghabiskan kursus Pegawai Kadet pada 9 Disember 1983.

Seri Paduka telah dikomisyenkan pangkat Leftenen pada 1 Mac 1984 dan telah berkhidmat di Askar Berkuda Diraja.

Seri Paduka telah dianugerahkan Putera Mahkota negeri Terengganu Darul Iman pada 6 November 1979, dan kemudiannya, pemangku Sultan Terengganu dari 20 Oktober hingga 8 November 1990.

Tuanku Mizan berkahwin dengan Sultanah Nur Zahirah pada 28 Mac 1996 di Kuala Terengganyu. Pasangan tersebut dikurniakan empat orang anak, Puteri Tengku Nadhirah Zaharah, Putra Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Puteri Tengku Fatimatuz Zahra’.

Permaisuri Nur Zahirah dilahirkan pada 7 Disember 1973 di Alor Setar, Kedah. Baginda mendapat pendudukan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan St. Nicholas’ Convent dan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Nocholas’s Convent di Alor Setar Kedah.

KERJAYA YANG PERNAH DISANDANG

Pada 15 September 1981, baginda dilantik sebagai Assistant Land Levy Collector, dan bekerja sebagai Pegawai Daerah Tanah di Kuala Terengganu sebelum ke luar negara untuk menghadiri kursus ketenteraan di England.

Pelantikannya pada 11 Julai 1988 adalah sebagai Pegawai tadbir di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Selain bekerja dengan UPEN. Seri Paduka juga pernah menjadi Presiden Majlis Agama Islam dan Hal Ehwal Kebudayaan Terengganu dari 1 Jun 1991 hingga Disember 1995.

Raja paling muda naik takhta

Sejarah mencatatkan Sultan Mizan Zainal Abidin menjadi Raja Melayu paling muda menaiki takhta ketika usia 36 tahun semasa dilantik pada 1988. Seri Paduka ditabalkan menjadi Sultan Terengganu pada 15 Mei 1998. Kemudian Timbalan Yang di-Pertuan Agong dari 26 April 1999.

Pada 3 November 2006, Sultan Mizan Zainal Abidin dilantik oleh Majlis Raja-Raja untuk menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail (Raja Perlis) untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-13 bermula 13 Disember 2006 sehingga Disember 2011.

Tuanku Mizan, 44, merupakan Yang di-Pertuan Agong kedua paling muda selepas Tuanku Syed Putra Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Perlis) yang menyandang jawatan tersebut ketika usia 41 tahun pada 4 jan 1961.

@@@@@@@@@@@@@@@

Raja yang dekat di hati rakyat

YANG di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sememangnya pemimpin yang begitu dekat di hati rakyat.

Mudah mesra, murah senyuman dan sentiasa prihatin merupakan sifat-sifat semula jadi Seri Paduka yang sangat berhemah tinggi, sangat profesional serta suka berkongsi idea dan pandangan.

Selain daripada menyertai pelbagai aktiviti sukan, Seri Paduka juga sering menghadiri pelbagai majlis yang berkaitan dengan rakyat dan masyarakat di seluruh negara, terutama di Terengganu.

Tufail Ahmad Ashtul, 68, merupakan antara individu bertuah kerana beliau agak rapat dengan Tuanku Mizan sehinggakan Seri Paduka menganggapnya sebagai rakan yang boleh berkongsi cerita terutama kisah semasa zaman persekolahan.

Ini kerana beliau yang mesra dipanggil Taufek oleh Seri Paduka itu sudah lama berkhidmat sebagai tukang gunting rambut baginda sejak zaman kanak-kanak.

Beliau berkata, Tuanku Mizan seorang yang sangat mementingkan kekemasan dan menggemari potongan pendek dengan memastikan rambut baginda digunting dalam tempoh antara satu atau dua bulan sekali.

“Seri Paduka tidak sombong dan tidak cerewet malah setiap kali rambut baginda digunting, Tuanku Mizan gemar mengimbau kisah silam semasa zaman kanak-kanak,” katanya.

Bagi Zaidah Wahid atau dikenali Wan Su yang merupakan tukang masak kepada Seri Paduka sejak berusia 20-an hinggalah baginda mempunyai dua cahaya mata berkata, Tuanku Mizan tidak cerewet dan bersederhana dalam soal makanan.

“Seri Paduka tidak suka makanan pedas tetapi amat menggemari kari selain nasi dagang yang menjadi makanan kegemaran baginda,” katanya.

Heng Fu Chean, 38, yang sering diamanahkan untuk merakamkan gambar Tuanku Mizan sekeluarga baik pula menganggap tanggungjawab itu suatu penghormatan dalam kariernya sebagai jurugambar.

Katanya, keramahan Seri Paduka menegur beliau ketika pertama kali merakamkan gambar baginda semasa menjadi Raja Muda sama sekali mengubah persepsinya yang menganggap Tuanku Mizan seorang yang sangat protokol.

“Saya tidak sangka pertama kali ditugas merakamkan gambar, baginda akan bertanyakan tentang perkembangan pengajian fotografi saya dan ia jelas menunjukkan Seri Paduka seorang yang peka,” katanya.

Menurut Quah Sang Guan, dari Fox Custom Tailor yang merupakan tukang jahit kepada Seri Paduka sejak baginda bergelar Raja Muda lagi, Tuanku Mizan mempunyai disiplin dalam berpakaian membuatkan Seri Paduka sentiasa tampil kemas.

Katanya, Seri Paduka juga mengikuti perkembangan fesyen terkini dan sentiasa tampil eksklusif apabila menggayakan sesuatu pakaian.

@@@@@@@@@@@@@@@

Kemesraan pasangan diraja menambat hati

MESRA, peramah dan murah dengan senyuman, itulah ungkapan tepat ditujukan kepada pasangan diraja paling ideal ini, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah.

Sifat yang disenangi ini menjadi aset kepada Tuanku Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah untuk menambat hati rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sifat-sifat raja berjiwa rakyat ini menebal dalam diri Seri Paduka berdua lantaran kehidupan zaman anak-anak, remaja sehingga dewasa banyak dihabiskan dengan mendampingi rakyat jelata, menyelami kehidupan dan suka-duka hidup mereka.

Malah ketika menghadiri majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi, Seri Paduka berdua sentiasa mengambil masa untuk bersalaman dan bertanya khabar dengan tetamu yang menunggu untuk menatap wajah raja kesayangan.

Ini lebih ketara kala baginda khasnya Permaisuri Nur Zahirah menghadiri atau berkunjung ke rumah-rumah kebajikan, anak yatim atau hospital untuk meninjau dan bertanya khabar kepada penghuninya.

Sikap prihatin dan penyayang baginda menyerlah dengan sentuhan dan dakapan yang sering dilakukan apabila bertentang mata dengan kanak-kanak yang dahagakan kasih sayang.

Seperti pasangan lain, keistimewaan dan sifat-sifat murni yang dimiliki Tuanku Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah pastinya akan menjadi inspirasi buat kita semua, rakyat Malaysia yang bertuah hidup di bumi Malaysia yang aman damai, makmur dan sejahtera ini.

Semoga Allah lanjutkan usia Tuanku berdua dan selamat bertakhta.

DAULAT TUANKU!

@@@@@@@@@@@@@@@

Segak seorang Putera

USIANYA ibarat setahun jagung, namun tanggungjawabnya amat besar. Pun begitu bukan halangan buat Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin melaksanakan amanat yang diberikan ayahandanya untuk memerintah negeri Terengganu Darul Iman.

Tengku Muhammad Ismail yang kini bergelar Pemangku Raja Terengganu baru berusia 8 tahun. Namun, harapan yang disandarkan kepadanya oleh ayahanda dan bondanya serta rakyat Terengganu cukup tinggi.

Selama lima tahun, Tengku Muhammad Ismail akan memerintah dan menjaga Terengganu dan rakyatnya di bawah pengawasan sebuah Majlis Penasihat Pemangku Raja yang akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi pihak Tengku Muhammad Ismail.

Majlis tersebut diketuai oleh Raja Tengku Baderulzaman, adinda Tuanku Mizan. Dua lagi adalah ayahanda saudara kepada Tuanku Mizan Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Memenuhi tanggungjawab, Tengku Muhammad Ismail telah memulakan kerjanya dengan melakukan beberapa lawatan sekitar Terengganu.

Antaranya baginda telah meluangkan masa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Tok Dir, Kedai Buluh dan Surau Panjang, di Kuala Terengganu pada 7 April ditemani kekandanya Tengku Nadhirah.

Seperti juga ayahanda dan bondanya, Tengku Muhammad Ismail nyata tidak kekok malah melangkah penuh gaya sambil melemparkan senyum kepada orang ramai yang menunggu keberangkatan baginda.

@@@@@@@@@@@@@@@

Memilih Yang di-Pertuan Agong Pertama

Institusi Raja dan masyarakat Melayu di negara ini mempunyai sejarah yang amat panjang. Malah, ada di antaranya yang dibukukan seperti Sejarah Melayu dan juga Hikayat Hang Tuah

Masyarakat berbilang kaum di negara ini menerima Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi dalam Perlembagaan Malaysia.

Kini, jawatan tersebut disandang oleh Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Jawatan ini diwujudkan hasil Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Cadangan jawatan Yang di-Pertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat ingin menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu.

Pada Ogos 1957, setelah memilih gelaran Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama.

Raja-raja yang hadir ketika pertabalan pertama adalah:

* Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Sultan Pahang; 1932-1974)

* Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan; 1933-1960)

* Al-Marhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah (Sultan Selangor; 1938-1942, 1945-1960)

* Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah; 1943-1958)

* Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Al-Sultan Kelantan; 1944-1960)

* Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Raja Perlis; 1945-2000)

* Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Sultan Terengganu; 1945-1979)

* Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Sultan Perak; 1948-1963)

* Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (Tunku Mahkota Johor; menjadi Sultan 1959-1981)

Selepas giliran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut Pemerintah negeri adalah seperti yang digunakan sebelum ini, iaitu:

* Negeri Sembilan

* Selangor

* Perlis

* Terengganu

* Kedah

* Kelantan

* Pahang

* Johor

* Perak

Yang di-Pertuan Agong akan melantik Yang di-Pertua Negeri atau Gabenor bagi negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Gelaran Yang di-Pertuan Agong merupakan gelaran rasmi ketua negara Malaysia.

Ketua Negara dan Negeri
JAWATAN Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Malaysia mengamalkan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri. Pada peringkat Persekutuan, Ketua Negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sementara ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Pada peringkat negeri pula, ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar juga Yang Dipertua Negeri sementara ketua kerajaan pula ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Nasihat kerajaan
Institusi pemerintahan beraja merupakan sumber kekuasaan dan kewibawaan, pemerintah dan kerajaan. Institusi ini merupakan sumber kekuatan rakyat dan tempat rakyat mencari perlindungan, keadilan, memberikan kesetiaan, kecintaan dan taat setia kepada negara.

Di negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah sistem kerajaan Raja berperlembagaan, kuasa rakyat terletakhak pada Parlimen yang kemudiannya meletakhakkan kuasa eksekutif kepada Jemaah Menteri.

Walau bagaimanapun, setiap tindakan pihak berkuasa dilaksanakan atas nama Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat kerajaan.

@@@@@@@@@@@@@@@

Raja-raja berikut pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini:

* Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.

* Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.

* Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000.

* Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979.

* Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1924, memerintah pada 1970-1975.

* Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979.

* Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984.

* Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989.

* Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994.

* Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999.

* Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001.

* Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006.

* Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006 sehingga kini.

@@@@@@@@@@@@@@@

Fungsi Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara formalnya hasil perancangan British pada tahun 1948 bagi menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar).

Kali pertama ia diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Mesyuarat yang pertama diadakan pada 31 Ogos dan 1 September 1948. Mesyuarat ini buat pertama kali dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Fungsi

Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi unik kerana Majlis ini adalah institusi tunggal yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan adalah seperti berikut:

* Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;

* Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;

* Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa- apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;

* Melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;

* Memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,

* Dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut.

Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain).

Budi bicara Majlis Raja-Raja

Ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak mengikut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas yang berikut, iaitu:

(a) memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;

(b) memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang ditetapkan oleh Perlembagaan;

(c) mempersetujui atau tidak apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja;

(d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan;

(e) pelantikan anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau

(f) pemberian ampun, reprief dan respit, atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.

Keahlian

Semua Raja dan Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Ahli Majlis Raja-Raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seorang ahli tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu negeri itu.

Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Ahli Majlis Raja-Raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong bukanlah Ahli Majlis Raja-Raja. Baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari kedua sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda.

Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri. Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka.

Tiada undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

@@@@@@@@@@@@@@@

Yang di-Pertuan Agong ke-13 ditabal hari ini



KUMPULAN Nobat Diraja Terengganu bersiap sedia sempena
pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah
di Istana Negara hari ini. Tiupan nafiri dan paluan
nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi
keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong
ke Balairong Seri. Istiadat pertabalan itu akan dihadiri
Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri,
menteri Kabinet, Menteri Besar dan ketua menteri,
kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara
asing serta tetamu kehormat dari
dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR: Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin secara rasminya akan memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 hari ini pada upacara pertabalan yang meneruskan tradisi beraja di negara ini.

Tradisi beraja dan upacara pertabalan yang mungkin hanya dapat disaksikan sekali dalam tempoh lima tahun itu, diadakan di Balairong Seri, Istana Negara jam 10 pagi ini dan disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mengikut atur cara pentadbiran Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri, tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ oleh Kumpulan Nobat Diraja Terengganu akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah ke Balairong Seri.

Istiadat itu akan dihadiri Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, menteri Kabinet, menteri Besar dan ketua menteri, kerabat diraja Seri Paduka, wakil negara asing serta tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.

Atur cara istiadat akan bermula dengan barisan diraja masuk ke Balairong Seri, didahului Datuk Paduka Maharaja Lela Yang Mulia Tengku Farouk Tengku Jalil berserta panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.

Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya tongkat perak yang menjadi sebahagian alat kebesaran diraja yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.

Mereka akan diiringi juruiring Seri Paduka dan panglima yang membawa alat kebesaran diraja.

Tuanku Mizan, 45, akan berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong iaitu muskat bersulam emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok ‘Dendam Tak Sudah’.

Seri Paduka akan memakai Pending Diraja, diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang Kerajaan Persekutuan tertera di tengahnya, berserta tali bengkung daripada kain sakhlat bertekat benang emas berbunga.

Di pinggang Seri Paduka pula akan tersemat Keris Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan bersarung gading bertatahkan emas.

Tuanku Nur Zahirah, 33, pula akan memakai perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja, pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada emas putih bertatah berlian.

Seri Paduka berdua akan bersemayam di singgahsana yang diukir dengan motif menggabungkan ciri-ciri awan larat dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bagi melahirkan identiti kebangsaan yang unggul, sepanjang upacara pertabalan itu.

Datuk Penghulu Istiadat Datuk Wan Safiain Wan Hasan yang juga Datuk Pengelola Bijaya Diraja akan

membawa masuk naskhah Al-Quran manakala Keris Kerajaan, surat perisytiharan dan watikah ikrar dibawa pegawai Istana Negara yang diketuai oleh Datuk Paduka Maharaja Lela dengan iringan paluan nobat lagu ‘Menjunjung Duli’.

Naskhah al-Quran, lambang kemuliaan Islam agama rasmi negara, akan disembahkan kepada Seri Paduka oleh Datuk Paduka Maharaja Lela.

Seri Paduka akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja sebelah kiri baginda, diikuti pembacaan surat perisytiharan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditulis jawi di atas kulit kambing.

Datuk Paduka Maharaja Lela akan menyembahkan Keris Kerajaan atau Keris Panjang Diraja, iaitu alat kebesaran negara yang utama, tanda kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka kemudian akan menghunus, mengucup dan menyarungkan kembali keris itu sebelum meletakkannya di meja sebelah kiri baginda di hadapan naskhah al-Quran. Ini akan diikuti dengan titah Seri Paduka melafazkan ikrar sebagai pemerintah utama negara.

Sebaik saja selesai warkah ikrar dibaca, nafiri akan ditiup dan lagu nobat ‘Raja Bertabal’ dimainkan, dan diikuti dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela yang diikuti oleh hadirin.

Tembakan meriam 21 das dan lagu ‘Negaraku’ yang dimainkan oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia menyusul selepas itu.

Abdullah akan menyembah ucapan tahniah dan ikrar taat setia kerajaan serta rakyat Malaysia dan diikuti dengan Tuanku Mizan menyampaikan titah Diraja.

Selepas itu Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Rahman Mohd akan membaca doa selamat. Sebelum selesai majlis istiadat pertabalan, Datuk Paduka Maharaja Lela akan menerima balik naskhah al-Quran daripada Seri Paduka dan mengisytiharkan istiadat itu sudah disempurnakan, diikuti keberangkatan Seri Paduka berdua meninggalkan Balairong Seri.

Tiupan nafiri dan paluan nobat lagu ‘Raja Berangkat’ akan mengiringi keberangkatan Seri Paduka berdua yang didahului Datuk Paduka Maharaja Lela dan diikuti Datuk Penghulu Istiadat membawa naskhah al-Quran, panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama serta alat-alat kebesaran Diraja.

Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.

@@@@@@@@@@@@@@@

Tradisi Raja Berperlembagaan simbol keutuhan negara berdaulat


HARI INI rasmilah Sultan Mizan Zainal Abidin ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 dalam satu upacara penuh istiadat dan tradisi Melayu di Istana Negara. Seperti termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, pemilihan Sultan Mizan sebagai Ketua Negara dibuat pada 3 November lalu sebelum dimasyhurkan pada 13 Disember lalu. Seri Paduka akan menduduki takhta selama lima tahun dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Proses pemilihan itu bermula dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama pada 2 September 1957. Malaysia adalah antara sebilangan kecil negara di dunia yang masih mempertahankan institusi raja. Namun sistem yang kita amalkan adalah unik dan berbeza dengan negara lain kerana pemilihan Yang di-Pertuan Agong tidak dibuat berdasarkan keturunan, sebaliknya diputuskan Majlis Raja-Raja yang dianggotai sembilan Raja atau Sultan. Walaupun, Majlis Raja-Raja turut mempunyai anggota bukan raja, iaitu Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, mereka tidak layak menjadi Yang di-Pertuan Agong atau mengundi pada pemilihan jawatan itu.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, tidak dipilih rakyat, tetapi oleh sembilan Raja Melayu pada persidangan Majlis Raja-Raja, dan menyandang jawatan itu untuk tempoh lima tahun. Selepas genap tempoh itu, Seri Paduka hendaklah turun dari takhta dan diganti seorang raja atau sultan lain berdasarkan sistem pemilihan yang sama. Dalam sistem penggiliran ini, takhta pemerintahan adalah kekal sebaliknya raja yang memerintah bersilih ganti dan itulah keunikan dalam sistem monarki negara ini. Raja Melayu yang layak memilih dan menduduki takhta pemerintahan Malaysia ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan Selangor, Raja Perlis, Sultan Terengganu, Sultan Kedah, Sultan Kelantan, Sultan Pahang, Sultan Johor dan Sultan Perak.

Sultan Mizan, yang mencapai usia 45 tahun pada 2 Januari lalu adalah Sultan kedua dari Terengganu dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Nenda baginda, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin adalah Yang di-Pertuan Agong keempat dari 1965 hingga 1970. Graduan sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa daripada US International University-Europe, London, Tuanku Mizan pernah memegang beberapa jawatan dalam perkhidmatan awam termasuk Penolong Pegawai Daerah. Pengalaman ini membentuk jati diri Seri Paduka sebagai seorang raja yang memahami masalah dan aspirasi rakyat pada semua peringkat dan lapisan. Pada usia 19 tahun, Seri Paduka dilantik sebagai Raja Muda Terengganu sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada usia 36 tahun berikutan kemangkatan ayahandanya. Seri Paduka, pertama kali dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999 dan kali kedua pada 12 Disember 2001. Kini bermulalah era baru Sultan Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Sultanah Nur Zahirah sebagai Raja Permaisuri Agong. Rakyat menaruh keyakinan tinggi ke atas Seri Paduka untuk terus memberi sokongan dan nasihat kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan Kabinetnya. Semoga Malaysia terus mengecapi kecemerlangan dan kejayaan di bawah naungan Sultan Mizan. Dirgahayu Tuanku!

@@@@@@@@@@@@@@@

Tuanku Mizan teliti, kuat berfikir

Seri Paduka suka bersederhana supaya rakyat tidak berasa wujud jurang

YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin begitu teliti dan mengutamakan pengurusan masa bagi memastikan baginda sampai ke sesuatu destinasi tepat pada waktu selain tidak mahu mengecewakan pihak yang menunggu.

“Tuanku memang cukup jaga ketepatan masa. Itulah keistimewaan Tuanku dan secara tidak langsung kami dididik supaya berdisiplin dan menepati masa. Pengurusan yang cekap juga membantu kami merancang tugas dengan mudah.

“Tuanku juga mahu pastikan orang ramai tidak lama menunggu dan tidak mahu kecewakan mereka,” kata Sarjan Syed Jaafar Syed Mohamad, 49, yang menjadi Juruiring Tuanku Mizan sejak 27 tahun lalu.

Katanya, jika Tuanku Mizan ingin keluar jam 8.30 pagi, beliau akan menanti satu jam lebih awal dan memastikan persiapan untuk perjalanan Baginda lancar dan mengikut jadual.

Sebagai juruiring paling lama dan sudah berkhidmat sejak Tuanku Mizan masih bujang, Syed Jaafar berkata, baginda seorang yang teliti dalam semua perkara. Disebabkan sifat telitinya itu, Seri Paduka akan mengumpul dan mendapatkan maklumat dalam semua perkara membabitkan dirinya secara sistematik.

Tidak hairanlah jika pada sesi raptai penuh istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Selasa lalu, baginda turut hadir menyaksikan sendiri sesi latihan dengan pakaian istiadat lengkap dari awal hingga akhir.

Disebabkan begitu teliti juga, Tuanku Mizan menyedari wujud masalah koordinasi bunyian nobat dan lagu Negaraku yang kemudian dimaklumkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohd Safiain Wan Hasan, untuk tindakan sewajarnya.

Seri Paduka juga seorang yang kuat berfikir dan sikap itu menjadikan orang di sekeliling baginda sentiasa dalam keadaan bersedia selain memastikan setiap tugas dilaksanakan secara teratur dan mengikut tertib.

Tuanku Mizan menggalakkan rakyat mengimarahkan masjid melalui contoh teladan yang baik. Ketika menerajui negeri Terengganu, Seri Paduka cenderung dalam aktiviti membabitkan hal keagamaan.

Seri Paduka sendiri menjadikan tugas melawat dan menunaikan solat Jumaat di masjid sekitar Terengganu sebagai rutin mingguan. Sejak tiga tahun lalu, baginda sudah melawat dan menunaikan solat Jumaat hampir di semua masjid di Terengganu, katanya.

Apabila melawat masjid, Seri Paduka tidak akan membawa pegawai agama istana sebaliknya Baginda mahu imam masjid yang dilawati membacakan sendiri khutbah Jumaat. Baginda juga tidak mahu ada jurang dengan rakyat.

Begitu juga ketika bulan puasa, Tuanku Mizan gemar melawat masjid di kampung-kampung untuk bersama-sama jemaah menunaikan solat sunat Tarawih.

“Apabila orang kampung kata mereka ada sediakan hidangan moreh untuk Tuanku, lazimnya Tuanku tidak pernah menolak. Jika kata di masjid itu jemaah makan sambil bersila, Tuanku akan duduk bersila juga,” katanya.

Bagi Syed Jaafar, Tuanku Mizan adalah pemimpin yang bersifat sederhana dan mungkin disebabkan usianya masih muda, Baginda lebih bersikap terbuka dalam hubungan antara pemimpin dengan rakyat yang dipimpin.

Katanya, Tuanku Mizan lebih suka mendengar daripada bercakap menjadikan Seri Paduka tidak mudah marah. Bagaimanapun, baginda akan menegur jika ada perkara tidak berkenan di hatinya.

“Pernah saya melipat lengan kemeja yang dipakai. Tuanku titah kepada saya, “Sarjan, pakai kemas sikit.” Tuanku memang mementingkan penampilan. Tuanku mahu kita sentiasa nampak kemas dan bergaya,” katanya.

Lagi satu keistimewaan Tuanku Mizan ialah sikap ambil berat kebajikan kakitangannya.

Soalan ‘Sudah makan ke belum’ adalah soalan pertama yang ditanya kepada pegawai pengiring setiap kali selesai majlis yang dihadirinya.

Walaupun menggemari makanan Barat seperti pasta, Tuanku Mizan tidak pernah melupakan masakan tradisional apatah lagi budaya negeri yang terkenal dengan keropok lekor.

Ini terserlah apabila Seri Paduka mencadangkan penggunaan nobat dari Terengganu untuk upacara istiadat pertabalan. Tuanku Mizan turut menghidangkan nasi dagang, menu popular rakyat Terengganu kepada rombongan dari Brunei yang menghadap Tuanku, baru-baru ini.

Tuanku Mizan memang mementingkan hubungan kekeluargaan dan kerap membawa Permaisuri serta anakanda baginda berkelah di pantai peranginan terkenal di Terengganu.

Di sana, Seri Paduka akan membentang tikar dan duduk menikmati keindahan serta suasana tepi pantai bersama keluarga. Selalunya, kehadiran kerabat diraja itu disedari pengunjung lain tetapi mereka akan memberi ruang baginda beristirahat.

Syed Jaafar berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih dapat menaburkan khidmat bakti kepada Tuanku Mizan, serta berdoa baginda dan keluarga sentiasa diberkati Allah.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa tukang masak Istana Terengganu, Chef Nazrul Hazel, berkata makanan laut dan hidangan makanan Barat terutama pasta adalah makanan kegemaran baginda.

Namun, Seri Paduka tidak gemar makanan berlemak atau pedas manakala Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah pula tidak cerewet dan gemar masakan Melayu dan makanan Barat.

Bagi Tufail Ahmad Ashtul, 68, yang menjadi tukang gunting rambut Tuanku Mizan sejak zaman kanak-kanak lagi pula berkata: “Seri Paduka memanggil saya ke istana sebulan atau dua bulan sekali. Seri Paduka menggemari potongan rambut pendek dan kemas.

"Seri Paduka tidak sombong dan setiap kali saya menggunting rambut, Tuanku Mizan gemar mengimbau kisah silam Seri Paduka ketika zaman kanak-kanak,” katanya.

Tufail, yang dipanggil Taufik oleh Seri Paduka, berkata beliau berasal dari India Utara dan berhijrah ke Terengganu ketika berusia 14 tahun kerana mengikut abang dan bapa saudaranya yang tiba di negeri itu lebih awal.

Selain memotong rambut Seri Paduka, Tufail juga bertanggungjawab memotong rambut anakanda Seri Paduka iaitu Tengku Mohammad Ismail, 9; Tengku Muhammad Mua'az, 7.

Tufail, yang bersekolah sehingga darjah empat di Sekolah Grammar, Kuala Terengganu, belajar teknik menggunting rambut daripada abangnya, Abdul Samad dan sepupunya, Mohd Idris Biku yang ketika itu menjadi tukang gunting rambut untuk nenda Tuanku Mizan, Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

1 orang telah bersuara:

Anonymous said...

u must be very proud to be a terengganu citizen..that is why u posted this thread here..