Persiapan pertabalan Agong lancar
| |
| |
Istiadat pertabalan penuh bersejarah dan berwarna-warni itu menjadi lambang keagungan institusi beraja di negara ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Segala persiapan majlis yang akan dihadiri oleh Raja-Raja Melayu, pemerintah-pemerintah negara asing dan pembesar-pembesar dari dalam dan luar negara itu kini di peringkat ‘sentuhan terakhir’.
Satu raptai penuh istiadat tersebut diadakan di Balairung Seri, Istana Negara, hari ini yang turut dihadiri oleh Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Seri Paduka berdua mencemar duli melihat sendiri perjalanan raptai lebih sejam itu dari bilik khas Istana Negara dan berpuas hati dengan kelancaran programnya.
“Beta bersedia untuk upacara tersebut dan berharap semuanya berjalan lancar,’’ titah baginda kepada wartawan yang membuat liputan upacara raptai itu.
Lebih 1,500 pegawai dan kakitangan kerajaan daripada pelbagai sektor terlibat dalam menjayakan majlis raptai tersebut.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Wan Mohd. Safiain Wan Hasan, persiapan dimulakan sejak awal tahun lagi melibatkan beberapa program peringkat dalaman.
‘‘Majlis pertabalan ini melambangkan keagungan institusi beraja kita,’’ katanya kepada pemberita ketika ditemui di Istana Negara hari ini.
Wan Mohd. Safiain berkata, pihaknya akan memperbaiki beberapa kelemahan yang ada sepanjang raptai dijalankan seperti yang dititahkan oleh Tuanku Mizan.
Menurutnya, setiap urusan pertabalan Yang di-Pertuan Agong adalah standard kerana ia dijalankan lima tahun sekali.
Beliau memberitahu, terdapat sedikit sebanyak perbezaan di setiap majlis tersebut dan dalam konteks ini, ia melibatkan giliran Yang di-Pertuan Agong dari negeri Terengganu.
“Jadi, ada unsur-unsur atau ciri-ciri dari Terengganu yang turut diambil kira,’’ katanya.
Wan Mohd. Safiain berkata, ciri-ciri istimewa pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini hanya boleh dilihat pada hari sebenar pertabalan.
Beliau bagaimanapun memberitahu, warna-warna dan hiasan dalaman yang mencerminkan keceriaan yang dapat dilihat pada Balairung Seri, Istana Negara, merupakan pilihan baginda berdua terutama Raja Permaisuri Agong.
Ditanya mengenai kenamaan asing yang dijangka menghadiri majlis pertabalan tersebut, Wan Mohd. Safiain berkata, setakat ini Sultan Brunei mengesahkan kehadiran baginda.
@@@@@@@@@@@@@@@
1,500 terbabit jayakan pertabalan
Seri Paduka berpuas hati raptai kakitangan pelbagai agensi
Tuanku Mizan yang turut menyaksikan sesi raptai berkenaan berpuas hati dengan keseluruhan perjalanan istiadat yang berlangsung mengikut jadual walaupun mengakui ada perkara perlu diperkemaskan lagi.
“Saya bersyukur raptai istiadat pertabalan yang diadakan pagi ini (semalam) berjalan baik. Mungkin sedikit sentuhan akhir dari segi jurang masa bunyian nobat dan lagu Negaraku perlu diperkemaskan lagi.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit,” titah baginda selepas majlis raptai penuh istiadat pertabalan berakhir.
Pada raptai penuh pagi semalam, kira-kira 1,500 kakitangan pelbagai agensi dengan pakaian lengkap melakukan latihan mengikut suasana sebenar pada hari pertabalan, esok.
Tuanku Mizan bertitah, baginda sudah bersedia untuk majlis istiadat pertabalan, begitu juga dengan anakanda baginda yang gembira serta menantikan saat untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.
Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Mohamed Safiain Wan Hasan, berkata pihaknya akan mengatasi masalah koordinasi bunyian nobat dan lagu Negaraku seperti diarah.
Katanya, beliau sudah memaklumkan pihak berkenaan mengenai perkara itu dan menjangkakan semuanya dapat diperbaiki pada sesi raptai penuh kali kedua yang diadakan pada sebelah petang.
“Saya menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka berdua untuk menyaksikan raptai penuh serta memberi maklum balas bagi memastikan persiapan berjalan lancar,” katanya.
Sempena istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, 16 kakitangan bertugas secara bergilir di bilik gerakan yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 10 malam, sejak 11 April hingga 29 April.
Lima acara yang diadakan sempena pertabalan ialah Istiadat Pertabalan dan Majlis Bacaan Yasin pada 26 April, Majlis Santapan Diraja (27 April), Majlis Jamuan Teh (28 April) dan Majlis Jamuan Negara (29 April).
Beberapa pengubahsuaian di Istana Negara sudah dilakukan sempena istiadat pertabalan itu khususnya di bahagian Balairong Seri yang menempatkan tetamu kehormat dari dalam dan luar negara.
Perubahan ketara termasuk warna digunakan bagi melatari Balairong Seri itu supaya kelihatan lebih luas dan cerah berdasarkan cita rasa Tuanku dan Permaisuri, sekali gus melambangkan keutuhan institusi dan sistem beraja di negara ini.
Koleksi setem dijual Jumaat
Koleksi yang memaparkan potret Tunku Mizan dalam tiga rekaan berlainan pertama kali diperkenalkan pada media semalam, akan mula dijual pada 27 April (negeri yang bercuti Ahad) dan 28 April (negeri yang bercuti Jumaat).
Pengurus Kanan Filateli PosNiaga, Wong Lai Kim, berkata Pos Malaysia bangga kerana berpeluang mengeluarkan setem peringatan sempena Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong ke-13 dan ingin berkongsi perasaan itu dengan semua rakyat Malaysia.
“Dengan memaparkan antara acara terpenting yang hanya berlangsung lima tahun sekali ini, koleksi yang dikeluarkan amat berharga untuk dijadikan sebagai koleksi bagi rakyat Malaysia, terutama penggemar setem tempatan dan luar negara,” katanya ketika ditemui pada prebiu khas setem pos kenangan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Setem berukuran 30mm x 40mm dicetak di atas kertas tera air bersalut fosfor dan boleh didapati dalam tiga denominasi, iaitu 30 sen dihasilkan sebanyak 600,000 keping, 50 sen (140,000) dan RM1 (140,000).
Koleksi edisi terhad turut mengandungi Sampul Surat Hari Pertama dijual dengan harga 30 sen setiap satu, manakala pek cenderamata pada harga RM4 dan boleh didapati di semua pejabat pos seluruh negara. Turut dihasilkan fail berharga RM5 yang boleh dibeli di pejabat pos terpilih.

0 orang telah bersuara:
Post a Comment