Seri Paduka ajak rakyat bantu banteras rasuah
ISTIADAT NEGARA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan
Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berangkat ke Parlimen pada
Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-11 2007
di ibu negara, semalam. Turut hadir Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam titah sulung baginda pada perasmian mesyuarat pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-11 di Dewan Rakyat, Seri Paduka menegaskan usaha menghapuskan rasuah bukan mudah dan sebab itu kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak untuk tidak memberi atau menerima sogokan.
"Beta ingin melihat usaha pemupukan minda dan budaya membenci rasuah diperhebatkan agar warga Malaysia menjadi masyarakat berpendirian tinggi dan dihormati dunia.
“Malaysia harus dilihat sebagai sebuah negara bermaruah dan berhemah tinggi," titah Tuanku Mizan yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 13 Disember lalu, menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.
Baginda juga menegaskan mengenai pentingnya pemantauan terhadap program kerajaan diperkukuhkan lagi bagi memastikan segala perancangan dan perbelanjaan memanfaatkan golongan sasaran, terutama rakyat termiskin dan terpinggir.
Selain itu, Tuanku Mizan mahu tahap sosioekonomi rakyat, terutama di luar bandar, dipertingkatkan dengan menyegerakan projek pembangunan seperti Koridor Pembangunan Wilayah Utara, Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak.
Mengenai sektor pertanian yang menjadi penjana pertumbuhan ekonomi ketiga negara, baginda menggesa agar usaha menarik penyertaan swasta dipertingkatkan, khususnya dalam usaha sama membabitkan penggunaan teknologi tinggi.
Yang di-Pertuan Agong juga berharap kerajaan memperhebatkan lagi usaha membangunkan modal insan berkualiti menerusi pendidikan, latihan dan proses pembelajaran sepanjang hayat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) .
"Proses pembangunan modal insan berkualiti harus bermula dari peringkat usia muda lagi. Oleh itu, penekanan harus diberi kepada pendidikan prasekolah supaya kanak-kanak mendapat ruang memulakan hidup yang terbaik," titah baginda yang juga mahu sistem pendidikan merangkumi peringkat rendah, menengah dan tinggi diberi perhatian khusus.
Bagaimanapun, titah baginda, usaha memajukan negara sekalipun berasaskan dengan pelbagai dasar dan rancangan yang baik, sukar dilaksana sekiranya sistem penyampaian perkhidmatan awam tidak berkesan.
"Kerajaan beta perlu terus berusaha dan melipatgandakan kerja kerana masih terdapat banyak ruang untuk membuat perubahan dan pembaharuan," titah baginda sambil mengingatkan kerajaan dan rakyat supaya tidak leka dengan kejayaan yang dicapai negara sejak kemerdekaan 50 tahun lalu.
Seri Paduka sebaliknya menegaskan sekarang adalah masa untuk semua pihak meningkatkan usaha bagi menjamin kesejahteraan negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.
"Tahun ini amat istimewa dan penting dalam sejarah negara. Kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-50. Ia bermakna telah separuh abad kita bebas dari telunjuk penjajah yang melemahkan jiwa anak bangsa dengan dasar pecah dan perintah.
“Sejak merdeka, kita sudah mampu berdikari dan memerintah negara sendiri tanpa bergantung dengan kuasa luar.
“Sesungguhnya makna kebebasan dan makna kemerdekaan ini amat berharga dan perlu dihayati terutama bagi generasi muda,” titah baginda sambil memberi jaminan kerajaan pimpinan Abdullah tidak akan dibuai dengan kejayaan yang dicatat negara sehingga kini, sebaliknya akan terus mengejar kecemerlangan lain.
Baginda berharap Ahli Parlimen turut berkorban tenaga bagi memastikan segala dasar, program dan projek yang dirancang disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan kerana hanya tinggal 13 tahun lagi menjelang 2020.
"Negara ini adalah hak milik kita bersama. Beta percaya jika setiap warga Malaysia melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang mustahil dituruni.
"Dengan kerjasama yang erat serta persefahaman dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak, beta yakin cita-cita dan harapan kita akan terlaksana," titah baginda.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan mengenai pentingnya memelihara perpaduan, terutama dalam era teknologi maklumat dan komunikasi sekarang yang menyaksikan perbincangan dan pertukaran pendapat sesama rakyat berlaku secara terbuka.
“Beta berharap rakyat dapat berbincang dan mengurus keterbukaan ini secara bijaksana, tenang dan prihatin. Tanpa perpaduan dan keharmonian di kalangan rakyat, negara kita cintai akan berpecah belah dan akhirnya binasa dengan hasutan dan kebencian," titah baginda.
Mengenai program Tahun Melawat Malaysia 2007, Tuanku Mizan mahu usaha bersepadu dipertingkatkan bagi menjadikan negara ini antara destinasi pelancongan utama dunia.
"Sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, beta menyeru semua lapisan masyarakat terutama barisan hadapan industri pelancongan negara supaya sentiasa bersikap jujur, ikhlas dan mesra serta berusaha memberi layanan yang terbaik," titah baginda.
Tuanku Mizan turut mengingatkan kerajaan dan rakyat agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya bencana alam seperti banjir besar di selatan tanah air pada awal tahun ini.
"Bencana alam ini adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara kita. Lebih 100,000 rakyat jelata terpaksa dipindahkan dan kerugian dianggar mencecah hampir RM1.5 bilion.
Perhebat perangi rasuah -- Tuanku Mizan seru rakyat beri sokongan padu kepada PM
|
|
Seri Paduka meminta langkah pemupukan minda dan budaya membenci rasuah di kalangan rakyat diperhebatkan lagi.
Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru semua lapisan rakyat termasuk anggota perkhidmatan awam agar memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang gigih memerangi gejala itu.
‘‘Menghapuskan rasuah serta penyelewengan bukanlah mudah dan ia amat memerlukan kerjasama semua pihak.
‘‘Oleh itu usaha Perdana Menteri (untuk menghapuskan rasuah) perlu disokong oleh anggota perkhidmatan awam dan semua lapisan masyarakat,” titah Tuanku Mizan ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-11 di Dewan Rakyat hari ini.
Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Abdullah; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abdul Hamid Pawan Teh serta Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Istiadat itu merupakan mesyuarat pertama Parlimen yang dirasmikan oleh Tuanku Mizan sejak Seri Paduka dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada bulan Disember lalu.
Dalam titah ucapan pada istiadat tersebut, Seri Paduka turut menyentuh mengenai keterbukaan mengemukakan pendapat serta kekerapan perbincangan di kalangan rakyat apabila negara memasuki era teknologi maklumat dan komunikasi.
Tuanku Mizan bertitah, keterbukaan tersebut mencetuskan perbezaan pendapat di kalangan pelbagai pihak dalam membincangkan sesuatu isu.
‘‘Walaupun demikian, beta berharap rakyat Malaysia dapat berbincang dan menguruskan keterbukaan ini secara bijaksana, tenang dan prihatin. Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab memelihara ketenteraman awam.
‘‘Setiap rakyat Malaysia juga harus bertanggungjawab untuk saling memahami setiap pandangan serta sensitiviti kaum dan harus berusaha mencapai kata sepakat. Kita tidak mahu melihat wujud sebuah masyarakat yang ekstrem dan berpecah belah,” titah Seri Paduka.
Tuanku Mizan juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan pimpinan Abdullah kerana berjaya merangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Pelan Induk Perindustrian Ketiga yang dilancarkan tahun lalu ke arah membawa negara menuju Wawasan 2020.
‘‘Tempoh menuju Wawasan 2020 hanya tinggal kurang daripada 13 tahun dan inilah masanya untuk membuktikan negara kita mampu menggapai kecemerlangan,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong turut meminta kerajaan sentiasa memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh bagi menjamin kestabilan selain memberi perhatian kepada usaha pembendungan kadar inflasi dan pengangguran.
‘‘Kesan kenaikan barangan terutama kepada golongan berpendapatan rendah mesti diberi perhatian dan penguatkuasaan ke atas harga barangan kawalan perlu dipertingkatkan.
Menyentuh isu modal insan, Seri Paduka percaya ia merupakan aset negara yang paling berharga.
0 orang telah bersuara:
Post a Comment