CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, February 05, 2007

sepintas lalu...

Bush Dan Blair Patut Diingati Sebagai Pembunuh Kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad yang masih pedas kritikannya, Isnin membidas Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair dengan berkata bahawa dunia patut mengingati mereka sebagai "pembunuh kanak-kanak" atau sebagai "Perdana Menteri atau Presiden yang berbohong".

"Apa yang telah dilakukan oleh Blair dan Bush adalah lebih teruk daripada yang pernah dilakukan oleh Saddam (Hussein)," kata bekas Perdana Menteri Malaysia itu.

Dalam ucaptamanya pada persidangan tiga hari Persidangan dan Pameran Jenayah Perang di sini, Dr Mahathir berkata para pemimpin ini yang menggunakan peperangan untuk meraih sokongan patut digelar demikian kerana kejahatan yang telah mereka lakukan.

Persidangan itu, yang juga dipanggil Inisiatif Kuala Lumpur Untuk Menjadikan Peperangan Satu Jenayah, dianjurkan oleh Pertubuhan Keamanan Sejagat Perdana, yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir.

Persidangan itu juga akan berusaha ke arah mewujudkan sebuah tribunal tetap, yang diiktiraf oleh mangsa-mangsa pencerobohan, untuk mendengar tuduhan-tuduhan terhadap mereka yang suka berperang, para pemimpin dan kerajaan-kerajaan penceroboh, untuk menentukan sama ada mereka bersalah atau tidak dan untuk mengenakan hukuman terhadap mereka.

"Kita tidak patut menghukum gantung Blair sekiranya tribunal itu mendapati dia bersalah tetapi dia harus memikul label sebagai penjenayah perang, pembunuh kanak-kanak, pembohong. Dan begitulah juga halnya dengan Bush dan Bush kecil dari semak belukar di Australia (merujuk kepada Perdana Menteri Australia John Howard)," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata walaupun dunia tidak mungkin dapat menyuruh kerajaan di pelbagai negara untuk melaksanakan undang-undang untuk melabel para pemimpin itu sebagai "penjenayah perang", namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media yang bersimpati boleh meletakkan label itu pada nama mereka setiap kali nama mereka disebut.

Rakyat dan NGO yang memperjuangkan keamanan, katanya, patut membuat para penjenayah perang itu berasa tidak dialu-alukan ke mana sahaja mereka pergi dan mereka "sepatutnya sentiasa diburu".

"Gambar penuh mereka dari hadapan dan profil mereka hendaklah diletakkan di mana-mana sebagai penjenayah perang. Dan ahli sejarah seharusnya sentiasa merujuk mereka sebagai penjenayah perang dalam buku-buku sejarah," kata Perdana Menteri Malaysia Keempat itu.

Beliau berkata langkah pertama dalam perjuangan untuk mencapai keamanan ialah untuk memastikan bahawa penduduk dunia tahu mengenai perkara sebenar mengenai peperangan dan bahaya-bahayanya kerana "media dimiliki dan dikuasai oleh mereka yang suka berperang".

@@@@@@@@@@


Dunia Kekal Huru-hara Kecuali Perang Diisytihar Haram, Kata Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jika perang tidak diisytihar haram, dunia terpaksa melalui situasi peperangan berterusan antara negara kuasa besar dan negara lemah dengan tiada jaminan keselamatan untuk sesiapa, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Isnin.

"Tidak akan ada tempat dalam dunia ini yang selamat. Di sebalik keamanan, kita akan menyaksikan peningkatan peperangan berpanjangan dengan cara pembunuhan dan pemusnahan yang kita tidak boleh sentiasa menjangkakan atau membuat persediaan," kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir, yang kini menjadi pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana, berkata demikian dalam ucap tamanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Perang Jenayah, yang dilihat sebagai inisiatif Kuala Lumpur Untuk Mengiktiraf Perang Sebagai Jenayah, di PWTC di sini.

Dr Mahathir berkata pemilikan senjata nuklear akan menjadi agak tidak berguna kerana rakyat negara berkuasa nuklear boleh diserang dan dibunuh di mana-mana sahaja manakala mengeluarkan amaran perjalanan "hanya menjadikan egara sendiri sebagai satu penjara".

"Apa guna kuasa dunia dan hegemoni jika anda tidak dapat lihat negara dan dunia anda yang hegemoni. Pemeriksaan keselamatan dan serangan balas anda telah membangkitkan kemarahan dan kebencian, lebih ramai orang anda menjadi sasaran serangan mengejut," katanya.

Katanya ketika negara berkuasa seperti Amerika Syarikat dan Britain mengisytiharkan perang terhadap keganasan, tindakan ini tidak berjaya kerana pengganas tidak bertopeng dan boleh bertindak secara individu atau dalam kumpulan kecil yang bebas.

Dr Mahathir juga mengulangi bahawa perang di Timur Tengah ketika ini tidak berkesudahan kecuali negara kuasa besar sanggup mengakui dan mengatasi punca asas masalah dengan memikat hati dan minda rakyat di sana.

"Apabila anda silap, mengaku sahaja kesilapan. Penafian tidak dapat membantu sesiapapun. Penghantaran lebih ramai anggota tentera hanya menimbulkan lebih banyak sasaran," kata Dr Mahathir.

Katanya walaupun ketika dunia mencari penyelesaian kepada peperangan di Timur Tengah, ia terpaksa berjuang bagi menjadikan peperangan sebagai haram kecuali diiktiraf oleh komuniti antarabangsa.

"Paksaan mungkin boleh digunakan jika masyarakat antarabangsa membuat kesimpulan bahawa rejim rakus seperti Pol Pot atau Radovan Karadic perlu disingkirkan. "Tetapi persetujuan dan tindakan lain perlu diamalkan bukan oleh Majlis Keselamatan tetapi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu. Ia tidak harus dengan cara kesepakatan.

"Ini adalah kaveat penting seperti yang kita lihat bagaimana negara kuasa besar menyalahgunakan kuasa veto dan menjadikan Majlis Keselamatan tidak berguna," katanya.

Dr Mahathir berkata satu-satunya justifikasi lain untuk menggunakan kuasa tentera ialah apabila sebuah negara diserang dan terpaksa mempertahankan diri dan dalam keadaan seperti itu, masyarakat antarabangsa harus membela.

Tiada negara secara sendirian mengambil keputusan untuk pergi membela sebuah negara yang telah diserang, katanya.

Dr Mahathir berkata kini dunia harus mendesak supaya kuasa besar mengurangkan program senjata nuklearnya, dan negara ini tidak ada hak untuk menghentikan negara lain dari membangunkan senjata nuklear.

Beliau juga mempersoalkan kenapa terdapat hak untuk kuasa besar nuklear menghalang serangan terhadap negara mereka tetapi hak sama tidak diberi kepada negara lain apabila diserang oleh negara kuasa nuklear ini.

"Adakah nyawa, harta dan negara kuasa nuklear wajar mendapat perlindungan manakala negara bukan kuasa nuklear tidak layak mendapat perlindungan?

"Adakah kita mempunyai manusia kelas pertama dan kedua. Adakah umat Islam kelas ketiga dunia, khususnya, mereka tidak harus memiliki senjata nuklear. Apakah rekod mereka? Adakah mereka pernah guna senjata nuklear? Adakah mereka menguraikan uranium?" kata Dr Mahathir.

Katanya ketika komuniti antarabangsa tidak harus membiarkan serangan pengganas, ia juga tidak harus mengiktitaf tindak balas kejam oleh negara kuasa besar dan proksinya terhadap serangan kecil oleh mangsa mereka.

Bekas perdana menteri itu berkata keganasan yang disebabkan oleh negara kuasa besar dengan penggunaan roket, peluru berpandu dan bom tidak boleh dikatakan kurang daripada yang disebabkan oleh seorang pengebom berani mati.

"Keganasan negara kuasa besar sebenarnya lebih besar dan pengganas yang lebih hebat daripada pengebom berani mati. Selagi kita percaya pembunuhan adalah cara untuk menyelesaikan pertikaian, maka wujud serangan pengganas oleh kedua-dua pihak. Peperangan adalah pengesahan kepada keganasan," katanya.

iskandar80- Berikut adalah berita dipetik dari Bernama yang dientry pada jam 1740 hrs & 1819 hrs tadi di Majlis Persidangan dan Pameran Perang Jenayah. Aku sokong sangat dengan ucaptama tersebut. Kalau perang berlaku dinegara kita, kita sebagai rakyat biasa akan mati katak aje; yang hidup tetap pemimpin yang bertelagah. Syor beliau untuk media menggunakan title penjenayah dipangkal nama mereka yang memulakan perang sebagai satu idea yang bernas. Sejarah akan membaca nama mereka sebagai PENJENAYAH. Anak cucu cicit kita akan menggelarkan mereka sebagai penjenayah perang, pembunuh kanak-kanak dan pembohong. Biar lah mereka tidak dihukum gantung seperti Saddam tetapi mereka akan tetap digelar Penjenayah sehingga berkurun lamanya bila nama mereka disebut.

0 orang telah bersuara: