CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, January 30, 2007

sepintas lalu...

‘Malaysiaku Gemilang’ tema baru Hari Kemerdekaan

KUALA LUMPUR 29 Jan. – ‘Malaysiaku Gemilang’ dijangka menjadi tema Hari Kemerdekaan ke-50 tahun ini menggantikan ‘Keranamu Malaysia’ yang digunakan sejak tujuh tahun lalu.

Menteri Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Utama Rais Yatim ketika mengumumkannya hari ini berkata, tema baru itu dijangka dipersetujui apabila dibawa ke mesyuarat Kabinet, minggu depan.

“Kemajuan yang dicapai oleh negara boleh dirumus dalam perkataan ‘gemilang’ yang juga mewakili segenap perasaan rakyat negara ini ketika ini,” katanya pada sidang akhbar di kementeriannya, di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Rais, pelbagai acara akan diadakan dengan majlis pelancarannya dirasmikan oleh Perdana Menteri pada bulan Mac atau awal April ini.

‘‘Walaupun majlis penutup akan diadakan pada 16 September di Kuching tetapi sambutan akan tetap berlangsung sehingga akhir tahun ini,’’ katanya.

Rais memberitahu, perayaan Ulang Tahun Kemerdekaan khas bagi memperingati jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan rakan-rakannya akan diadakan di Melaka pada 17 Ogos ini.

‘‘Di samping itu, pelancaran portal khas sempena sambutan dan menjemput veteran-veteran Komanwel sebagai tetamu khas negara turut diadakan,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berjanji kementeriannya akan membantu mengecualikan cukai pendapatan jika syarikat-syarikat swasta terlibat aktif dalam sambutan Hari Kemerdekaan.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu lagi berasa bingung dengan sikap sektor swasta yang tidak memberi sumbangan dan kerjasama setiap kali diadakan sambutan Hari Kemerdekaan.

Beliau berkata, ini berikutan ada konglomerat dan syarikat besar swasta di negara ini yang tidak memberi sebarang reaksi kepada surat Perdana Menteri yang meminta penyertaan mereka setiap kali kerajaan hendak menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan.

‘‘Kali ini, kerajaan benar-benar meminta mereka menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan yang jitu dalam membantu kerajaan lebih-lebih lagi kita hendak menjayakan sambutan Kemerdekaan negara ke-50,’’ katanya.

Sehubungan itu, kementeriannya selaku penganjur sambutan bersetuju membentuk satu jawatankuasa khas bagi pihak swasta yang diketuai oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid untuk memastikan pihak tersebut turut menjayakan sambutan kali ini.

Kesetiaan

‘‘Ini merupakan ujian paling tinggi kepada swasta bagi menunjukkan kesetiaan dan penerimaan langsung mereka terhadap sambutan.

‘‘Setiap kali hendak menyambut kemerdekaan, swasta memang menjadi isu yang menonjol sedangkan mereka telah meraih pelbagai kebaikan dan faedah dari negara ini,’’ katanya.

Menurutnya, beliau sendiri akan menemui peneraju-peneraju syarikat utama swasta di samping bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung perkara tersebut.

‘‘Kali ini, kementerian yakin pihak berkenaan akan menunjukkan perubahan pada sikap dan pendirian,’’ katanya.

Pihak swasta kata Rais, boleh membuat pelbagai sumbangan dengan bermacam cara termasuk mengadakan acara sambutan kemerdekaan negara dengan cara mereka sendiri.

‘‘Mereka membantu mengeluarkan bendera-bendera dan poster-poster percuma untuk rakyat, menaja dan membiayai mana-mana pihak yang hendak mengadakan sambutan sehinggalah sumbangan wang tunai kepada Tabung Perayaan Kemerdekaan,’’ tambahnya.

0 orang telah bersuara: